SONG: Sebanyak 22 pasukan dari Song, Kapit, Kanowit dan Sibu menyertai Pertandingan Sepak Takraw sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) 2025 yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw Song selama dua hari bermula pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, golongan belia harus aktif menyertai program seumpama ini kerana ia bukan sahaja bermanfaat dari segi kesihatan, malah dapat menjauhkan diri daripada penglibatan dalam aktiviti tidak sihat.
Selain itu, Saberkas juga menyediakan pelbagai program pembangunan belia seperti latihan kemahiran dan kursus keusahawanan, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk menceburi bidang baharu termasuk keusahawanan, pertanian moden dan penternakan.
“Belia di Song perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta berani meneroka bidang baharu agar mampu bersaing dalam menghadapi cabaran masa depan. Tahniah kepada Saberkas dan Kelab Sepak Takraw Genturung Katibas (STGK) kerana berjaya menganjurkan program ini,” ujar beliau.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh beliau yang turut melakukan kick-off sebagai simbolik pembukaan rasmi pertandingan serta diserikan dengan penyampaian cenderahati dan jamuan rainban sebelum perlawanan dimulakan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Penasihat (STGK), Ambrose Abong Bugek, wakil Pegawai Daerah Song, Mohd Adam Georceun, Pengerusi Saberkas Cawangan Katibas, Paw Bedimbap serta Pemangku Pengerusi STGK, Jasper Aut.-EDISI UKAS