SARIKEI: Perhimpunan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 akan mengetengahkan aspek keterangkuman sebagai elemen utama, dengan menekankan perpaduan dan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum.
Keunikan aspek keterangkuman ini jelas terserlah melalui raptai penuh yang diadakan di perkarangan Dewan Suarah Sarikei, pada Sabtu.
Raptai tersebut menyaksikan penyertaan aktif daripada pelajar sekolah, golongan belia, serta petugas teknikal yang bekerjasama dengan penuh semangat untuk memastikan kelancaran acara utama yang dijadualkan pada Ahad.
Pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan, merangkumi sistem bunyi, keselamatan serta susunan acara yang teliti, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak selaku Timbalan Menteri bertanggungjawab, Datuk Len Talif Saleh yang hadir memantau perjalanan raptai itu, berpuas hati dengan persiapan berkenaan serta memuji komitmen semua pihak dalam memastikan semuanya dilaksana mengikut perancangan yang ditetapkan.
Hadir sama ialah Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini.
Perhimpunan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 esok, dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta barisan kabinet Sarawak.-EDISI UKAS