SERIAN: Projek Dokumentasi Tanah Adat Bumiputera (NCR) Bidayuh perlu diteruskan demi memastikan hak pemilikan tanah masyarakat terjamin dan generasi akan datang mendapat manfaatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, Kerajaan Sarawak akan terus menganjurkan program dalam usaha memberi pencerahan serta memupuk kerjasama erat antara komuniti Bidayuh menerusi Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) dan agensi kerajaan berkaitan dalam mempercepatkan proses dokumentasi tanah NCR.
Sehubungan itu, John menyeru agar Ketua-Ketua Kampung terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha DBNA melaksanakan projek dokumentasi tersebut.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Taklimat dan Dialog Projek Dokumentasi Tanah NCR Bidayuh, di sini, pada Sabtu.
Beliau menegaskan, inisiatif ini penting untuk mengenal pasti pemilikan tanah dengan jelas, menyelesaikan pertikaian sempadan antara pemilik tanah, kampung dan tanah kerajaan, sekali gus mempercepatkan pengeluaran geran rasmi.
Menurutnya, terdapat dua pendekatan utama yang boleh dipertimbangkan, iaitu melalui projek dokumentasi tanah oleh DBNA atau melalui pembangunan tanah secara berkelompok dengan kerjasama syarikat berkelayakan yang menanam hasil komersial seperti kopi, jagung, kelapa sawit dan termasuk juga ladang padi.
John turut menyentuh mengenai cadangan mewartakan Bung Muja sebagai kawasan warisan, yang menurutnya perlu dimurnikan melalui perbincangan bersama Ketua-Ketua Kampung, komuniti setempat, DBNA dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Katanya, langkah itu akan memberikan nilai tambah bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, tetapi juga dalam melestarikan warisan budaya dan identiti Bidayuh.
Program tersebut berjaya mencapai objektifnya dengan meningkatkan kefahaman serta kesedaran para pemimpin masyarakat mengenai kepentingan dokumentasi tanah NCR.
Hadir sama, Timbalan Presiden DBNA Sarawak Dr Chali Ungang, Penolong Pentadbir Tanah JTS Atin Rimpa, Pengerusi Teknikal Projek Dokumentasi DBNA Datu William Nyigor. -EDISI UKAS