Simunjan Bersiap Sedia Raikan Detik 12 Malam Merdeka

Posted on 30 Aug 2025
Source of News: UKAS


SIMUNJAN: Padang Sentral Simunjan kini bersiap sedia untuk menyambut detik bersejarah 12 tengah malam apabila sesi raptai penuh Program Sambutan Ambang Merdeka 2025 telah dijalankan bagi memastikan kelancaran acara kemuncak malam ini.

Raptai tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, dan melibatkan pelbagai komponen utama termasuk atur cara rasmi majlis, upacara menaikkan Jalur Gemilang, persembahan artis jemputan, persembahan kebudayaan serta persediaan pertunjukan bunga api yang bakal menggamatkan suasana tepat jam 12 malam.

Persiapan teknikal turut diberi perhatian dengan ujian sistem audio, pencahayaan, susun atur pentas, perarakan masuk tetamu kehormat serta koordinasi petugas keselamatan dan kesihatan, demi menjamin keselesaan serta keselamatan ribuan pengunjung yang dijangka hadir.

Acara rasmi malam kemuncak nanti akan diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bersama Awla.

Sambutan Ambang Merdeka 2025 Simunjan merupakan anjuran Majlis Daerah Simunjan bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong dan Pusat Khidmat DUN Simunjan dengan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat, sekali gus mencerminkan semangat patriotik dan kebersamaan masyarakat menjelang Hari Kebangsaan.

Turut hadir dalam sesi raptai berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sabli Razak. -EDISI UKAS