SIBU: Pegawai kerajaan diingatkan bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja tertumpu kepada keberkesanan pentadbiran sebaliknya turut merangkumi kefahaman terhadap undang-undang serta faktor sejarah yang menjadi asas kepada penubuhan dan kewujudan agensi masing-masing.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan bahawa ramai pegawai cenderung melaksanakan tugas tanpa memahami asas perundangan dan sejarah penubuhan institusi mereka.
“Tidak mencukupi sekiranya seorang pentadbir yang cekap atau pengurus yang berkemampuan. Seseorang itu mesti memahami undang-undang yang menubuhkan agensinya.
“Dia juga harus memahami peristiwa sejarah yang membawa kepada penggubalan undang-undang tersebut dan penubuhan agensi berkenaan. Lebih daripada itu, dia perlu menghayati maksud sebenar di sebalik undang-undang itu, niat yang memberi kehidupan kepada setiap perkataannya.
“Malah IKEA juga memberi manual untuk memasang perabotnya supaya dapat digunakan dengan baik. Dalam urusan kerajaan dan pentadbiran, ‘manual’ itu jauh lebih kompleks. Jika tersilap arah, kesannya akan meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Negarawan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, pada Sabtu.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menegaskan bahawa walaupun sesuatu perkara kelihatan berjalan lancar di permukaan, hakikatnya ia mungkin telah menyimpang daripada objektif utama.
“Inilah sebabnya setiap agensi diberikan undang-undang penguatkuasaan sama ada Akta Parlimen atau Ordinan, sebagai panduan rohani dan fizikal untuk membantu mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan,” ujarnya.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa falsafah dan peraturan termasuk undang-undang yang sudah lapuk perlu disesuaikan atau diubah agar seiring dengan pendekatan serta tindakan baharu bagi mencapai matlamat dasar yang digariskan.
Beliau turut menekankan bahawa setiap anggota dalam Eksekutif kerajaan perlu mahir dalam perkara berkaitan termasuk undang-undang yang wajar diteliti semula, digubal semula atau diubah arah bagi mencapai objektif dasar.
“Jika berada pada kedudukan berpengaruh, sama ada sebagai Menteri, Setiausaha, Pengarah atau pegawai kanan, peranan anda adalah memastikan asas kewujudan agensi kekal relevan, terkini dan memberi manfaat kepada rakyat serta negeri.
“Perkhidmatan awam bukan sekadar tempat kerja yang stabil, berprestij dan terjamin untuk mencari rezeki, atau tempat untuk mencipta nama serta kemasyhuran diri.
“Bagi saya, ia lebih daripada itu. Ia bukan sekadar pekerjaan atau profesion, tetapi suatu amanah, suatu kepercayaan besar, serta misi penting untuk menunaikan janji dan kepercayaan pemimpin kepada negeri, rakyat, dan negara,” tegas beliau.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.-EDISI UKAS