MIRI: Semangat patriotisme dan perpaduan perlu terus diperkukuh sebagai asas kekuatan negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan hanya tertumpu kepada pengibaran Jalur Gemilang, tetapi lebih kepada penghayatan makna kebebasan dan tanggungjawab rakyat terhadap negara.
"Malaysia bukan sekadar nama atau bendera yang dikibarkan tetapi Malaysia memberi makna bahawa kita dapat hidup aman, mendapat pendidikan, beribadah dengan bebas serta menikmati pembangunan yang adil.
"Tanggungjawab kita adalah memastikan kebebasan ini terus dipelihara dengan mempertahankan perpaduan serta memilih pemimpin yang menjaga kepentingan rakyat,” katanya." katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian KMJG 2025 di Dewan Kampung Tunku Abdul Rahman Lambir pada Sabtu.
Ahli Parlimen Sibuti itu turut mengingatkan tentang perjuangan rakyat Sarawak dalam sejarah pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang harus dijadikan pedoman untuk memastikan pembangunan negeri terus seiring dalam Malaysia yang stabil.
Dalam pada itu, Dato Lukanisman mengumumkan peruntukan RM12,000 kepada enam Komuniti MADANI di kawasan P.218 Sibuti sebagai sokongan kepada aktiviti kemasyarakatan dan usaha mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi.
KJMG 2025 Peringkat Daerah Miri telah diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat daerah.
Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Miri itu menghimpunkan lebih 100 peserta konvoi terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, komuniti setempat serta kelab permotoran tempatan.
Acara dimulakan seawal jam 7 pagi dengan pelepasan konvoi pengangkutan air dari Jeti Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Miri menuju ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah III Miri, sebelum diteruskan dengan penyerahan simbolik Jalur Gemilang oleh Ketua Konvoi, Aidawatie Mustapha kepada Pegawai Wilayah LKIM Nor Shazana Zulkefli.
Konvoi darat kemudiannya bergerak ke Stesen PETRONAS Piasau dan Pusat Komersial Morsjaya, di mana Jalur Gemilang diedarkan kepada orang ramai selain penyerahan simbolik kepada Ketua Komuniti MADANI kawasan Senadin.
Destinasi terakhir konvoi ialah Dewan Kampung Tunku Abdul Rahman Lambir yang menjadi lokasi utama majlis perasmian.
Pelaksanaan KMJG kali ini merangkumi konvoi air sejauh 5.62 kilometer dan konvoi darat hampir 30 kilometer yang melibatkan penyertaan agensi seperti Polis Marin, Bomba, JPJ, APM, Imigresen, Kastam, RTM, SKMM, Pos Malaysia serta kelab permotoran tempatan.
Program ini selari dengan aspirasi JIWA@Komuniti MADANI bagi memperkukuh semangat cintakan negara, memperkasakan komuniti sebagai agen perubahan sosial dan mempererat jalinan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. -EDISI UKAS
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur