Miri Berpotensi Sebagai Hab Permotoran Serantau

Posted on 30 Aug 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Destinasi utama pemotoran serantau dengan penganjuran Miri International Bike Week (MIBW) 2025, edisi ke-12 yang berlangsung di Boulevard Shopping Mall bermula 29 Ogos hingga 1 September.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan penganjuran Miri International Bike Week bukan sahaja mengangkat Miri dalam kalendar permotoran serantau, tetapi juga mengukuhkan kedudukan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, acara ini berkembang daripada sekadar perhimpunan permotoran kepada sebuah festival berskala besar yang menggabungkan elemen sukan, budaya, hiburan dan promosi pelancongan,” katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian MIBW 2025 di sini pada Sabtu.

Beliau turut memaklumkan bahawa tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 1,000 penunggang motosikal dari dalam dan luar negara termasuk Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura serta pelbagai negeri di Malaysia.

Ujarnya, Miri International Bike Week disifatka sebagai sebuah platform memperkenalkan budaya, kepelbagaian masyarakat serta keramahan rakyat Miri kepada dunia, selain mengukuhkan perpaduan komuniti setempat.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menekankan aspek keselamatan jalan raya, menyeru para penunggang agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, menggunakan kelengkapan keselamatan lengkap, mengelakkan tunggangan dalam keadaan mabuk atau letih serta mengamalkan sikap bertanggungjawab di jalan raya. -EDISI UKAS