KUCHING: Karnival Pendidikan STEAM 2025 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Padawan disifatkan bukan sekadar program pendidikan, sebaliknya menjadi satu gerakan yang membangkitkan gelombang baharu dalam dunia pendidikan Sarawak.
Menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM), karnival tersebut diyakini mampu melahirkan generasi pelajar yang seimbang antara penguasaan teknologi, logik serta kreativiti.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, berkata STEAM memberi nilai tambah kerana ia melahirkan individu yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga mampu mencipta penyelesaian baharu terhadap cabaran dunia sebenar.
“STEAM memainkan peranan penting kerana ia bukan sekadar mengajar murid untuk mengira, membina robot atau melukis reka bentuk tetapi menggabungkan kekuatan logik dan analitikal daripada sains serta matematik.
“Dengan kreativiti dan ekspresi seni, menghasilkan individu yang mampu mencipta penyelesaian baharu bagi masalah dunia sebenar,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, pada Sabtu di Wisma SABATI sekaligus merasmikan karnival tersebut.
Beliau menegaskan keseimbangan ini akan melahirkan generasi yang mampu berfikir jauh namun tetap mengekalkan sentuhan kemanusiaan.
“Contohnya, seorang jurutera perisian yang mahir dalam teknologi tetapi juga memiliki rasa seni yang halus mampu menghasilkan aplikasi yang bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi juga mesra pengguna dan estetik.
“Inilah generasi yang kita mahu lahirkan iaitu generasi yang mampu menguasai teknologi, tetapi tidak kehilangan sentuhan manusiawinya,” jelasnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tahun 2025, iaitu peningkatan peratus murid mendapat kepujian Matematik SPM, peningkatan enrolmen murid STEM di peringkat menengah atas serta peningkatan tahap pembudayaan STEM.
“Setiap KPI ini bukan sekadar sebagai Petunjuk Prestasi Utama di atas kertas tetapi cerminan kepada aspirasi negara.
“Kita mahu memastikan murid Malaysia khususnya negeri Sarawak bukan sahaja lulus namun menguasai pengetahuan dan kemahiran yang akan membolehkan mereka bersaing di peringkat global,” tegas beliau.
Karnival yang disertai lebih 70 reruai pameran melibatkan sekolah-sekolah sekitar daerah Padawan serta rakan strategik daripada sektor pendidikan dan teknologi berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti pameran dan pertandingan.
Menurut beliau, penganjuran karnival ini diharap dapat menjadi pemangkin perubahan pendidikan di Sarawak dengan sokongan menyeluruh daripada semua pihak.
“Penganjuran karnival ini diharap menjadi titik tolak dalam usaha membina masa depan negara untuk melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan berdaya cipta, dengan guru sebagai penggerak utama perubahan, ibu bapa sebagai penyokong setia, industri sebagai rakan strategik dan murid sebagai pewaris masa depan,” katanya.
Karnival STEAM 2025 sekali gus dilihat sebagai platform penting untuk memperkukuh asas pendidikan Sarawak menuju era baharu yang lebih dinamik dan kompetitif. — EDISI UKAS