Kampung Bangau Terima Suntikan Projek Pembangunan Bernilai RM260,000

Posted on 30 Aug 2025
Source of News: UKAS


PADAWAN: Penduduk Kampung Bangau menerima suntikan pembangunan baharu apabila Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, mengumumkan peruntukan bernilai RM260,000 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-36 Gereja Saint Monica Bangau pada Sabtu.

Peruntukan tersebut merangkumi RM50,000 di bawah Projek Mesra Rakyat bagi pembinaan baharu Bilik Gerakan dan Dapur Kampung Bangau, RM200,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaiktaraf Padang Bola Sepak Kampung Bangau, serta RM10,000 daripada Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk Jawatankuasa Gereja Saint Monica.

Datuk Willie menekankan bahawa pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan rohani dan sosial masyarakat.

Beliau turut mengingatkan generasi muda agar memperkukuh pegangan iman, menjauhi gejala sosial serta menceburi bidang pendidikan bernilai tinggi seperti kejuruteraan, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Sambutan ulang tahun gereja yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Padang Bola Sepak Kampung Bangau itu turut diserikan dengan Pesta Jualan dan Sukaneka, dengan kehadiran pemimpin gereja, ketua masyarakat, pemimpin tempatan serta komuniti setempat.

Pengerusi Pengelola Sambutan, Roystance Asit, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada para penaja dan komuniti yang memastikan kelancaran acara, sambil menegaskan bahawa Gereja Saint Monica terus menjadi simbol perpaduan dan kasih dalam kalangan umatnya. -EDISI UKAS