Larian Merdeka 2025 Semarakkan Perpaduan dan Gaya Hidup Sihat

Posted on 30 Aug 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Program Larian Merdeka Sempena Hari Kemerdekaan 2025 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Hussein/Rahmat berlangsung meriah dengan penganjuran 3KM Fun Walk yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Acara dimulakan dengan taklimat keselamatan serta nyanyian Lagu Negaraku sebelum peserta dilepaskan ke laluan yang dipenuhi kibaran Jalur Gemilang.

Suasana penuh patriotik itu dihiasi penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas, yang sama-sama menghayati semangat Merdeka ke-68.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato Fazzrudin menegaskan bahawa penganjuran aktiviti kesihatan komuniti seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah mengukuhkan silaturahim serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.

Program turut mendapat sokongan agensi-agensi setempat dan komuniti taman yang memastikan kelancaran serta keselamatan peserta sepanjang acara.

JKKK Taman Hussein/Rahmat dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap kesinambungan program ini terus menjadi platform memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan dan kecergasan komuniti. -EDISI UKAS