SEB Peruntuk RM42 Juta Tingkat Bekalan Elektrik Di Wilayah Tengah Sarawak

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


RABU, 3 APRIL 2024

SIBU: Sebanyak RM42 juta telah diperuntukkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) pada tahun lepas bagi membiayai projek penambahbaikan pembekalan elektrik di wilayah tengah Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili memberitahu, projek berkenaan melibatkan kawasan Sibu, Kanowit, Kapit, Daro dan Dalat bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik kepada pengguna.

“Peruntukan itu melibatkan pembinaan pencawang baharu di Kemuyang, Sibu yang telah siap pada penghujung tahun 2023 bagi meningkatkan bekalan tenaga elektrik serta menyusun atur semula sistem pengagihan bekalan.

“Sarawak Energy turut melaksanakan projek grid pintar bertujuan mencapai tahap keselamatan bekalan dan kebolehpercayaan yang dikehendaki dalam sistem kita dan disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Sarawak Energy di Sibu pada Selasa. 

Tambah beliau, syarikat pembekal tenaga itu telah berjaya menyambungkan bekalan elektrik kepada 2,671 penduduk luar bandar di kawasan Sibu, Selangau, Kanowit, Kapit dan Mukah sejak tahun 2018. 

“Selaku pembekal tenaga elektrik utama di Sarawak, di bawah bidang kuasa kawal selia Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Sarawak Energy telah mencapai kadar elektrifikasi yang hampir penuh di seluruh negeri,” ujarnya.

Datuk Sharbini menambah, Sarawak Energy juga telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan sebarang gangguan bekalan elektrik sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tiba.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting Ing Horh dan Pengurus Wilayah Tengah Sarawak Energy Effendy Syaiful Abdullah. -EDISI UKA