KUCHING: Program Car Booth Sale @ Kuching mengetengahkan belia untuk memperkasakan aktiviti keusahawanan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata program lebih kurang 400 peserta yang menyertai MYSED Car Boot Sale@Kuching diadakan selama tiga hari di Dewan Suarah Kuching.
“Saya harap program sebegini akan lebih di dipergiatkan terutamanya oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) yang memfokuskan usahawan belia dan ini sudah pasti akan dapat meningkatkan pendapatan, usahawan separuh masa untuk mempergiatkan lagi golongan belia dalam keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Car Boot Sale@Kuching di Dewan Suarah Kuching pada Jumaat.
Tambah beliau, ini merupakan penganjuran kali kedua oleh MYSED di mana penganjuran pertama diadakan di Sibu pada Mac lalu, manakala untuk lokasi berikut akan diadakan di Miri dan Bintulu.
Memandangkan sambutan yang menggalakkan di sini, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak komuniti untuk diadakan ‘Car Boot Sale’ pada setiap bulan di Kuching.
“Kita tadi baru berbincang dengan pihak komuniti, jadi mereka ada mencadangkan untuk dibuat setiap bulan dan saya rasa pihak Kementerian tiada masalah untuk perkara ini dibuat tapi perlu ada perancangan yang teratur dan terperinci supaya satunya peserta (usahawan) dan juga nanti biarlah sasaran jualan itu menepati sasaran para peserta yang mana ia boleh mendatangkan keuntungan kepada para peserta.
“Setelah mendengar cadangan mereka tadi, memang boleh diteruskan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Ripin turut berkesempatan mengadakan lawatan pada setiap gerai serta beramah mesra dengan para peniaga yang terlibat.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti riadah dan senamrobik anjuran MYSED.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Belia (MYSED) Zulkarnain Ismail, Pengurus Dewan Suarah Kuching Nur Izzat Mohd Ainnie dan Duta Car Boot Sale@ Kuching Saiful Rahman Sabri.-EDISI UKAS