SRI AMAN: Fenomena keunikan benak bakal kembali memukau ribuan pengunjung apabila Pesta Benak 2025 berlangsung dari 19 hingga 21 September ini di Sri Aman Waterfront, Bandar Simanggang.
Promosi rasmi acara tahun ini turut disiarkan di Kupi-Kupi FM bersama Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Pesta Benak 2025, Datuk Francis Harden Hollis dan Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Benak 2025, Mahra Salleh.
Pelbagai acara menarik menanti pengunjung termasuk Regatta Benak Batang Lupar, Benak Road Trails-Run, Miss Tourism Benak 2025, Festival Gendang Sarawak (FGS 2025), pameran pembangunan, bazar ria, pentas perpaduan dan kebudayaan, selain program khas ATM Bersama Komuniti Benak.
Menurut Datuk Francis, pesta ini bukan sahaja mengetengahkan keunikan fenomena benak, malah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Mahra Salleh menegaskan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti setempat menjadi kunci kejayaan penganjuran pesta yang saban tahun mendapat sambutan ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara.-EDISI UKAS