Program Jum Daftar OKU Serian 2025 Martabatkan Kesejahteraan Golongan Istimewa

Posted on 28 Aug 2025
Source of News: UKAS


SERIAN: Program Jum Daftar Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi satu inisiatif yang bermakna dalam usaha bersepadu untuk memartabatkan hak dan kesejahteraan golongan istimewa.

Program anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Bahagian Serian itu melibatkan seramai 20 murid terpilih dari beberapa sekolah, yang dibawa khas untuk menjalani saringan kesihatan dan penentuan kategori OKU oleh pakar perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) serta Pejabat Kesihatan Bahagian Serian.

Tujuan utama program adalah bagi memetakan bilangan, kategori dan taburan OKU secara lebih sistematik, seterusnya membantu kerajaan merangka perkhidmatan pendidikan, rehabilitasi, latihan serta sokongan sosial yang lebih inklusif.

Lebih menarik, pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Satok turut hadir dengan inisiatif membuka akaun simpanan khas bagi pelajar OKU yang mendaftar, sekali gus memberi jaminan urusan kewangan yang lebih mudah pada masa hadapan.

“Program ini bukan sahaja berkisar soal pendaftaran, malah menjadi jambatan kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam memastikan golongan OKU tidak tersisih daripada arus pembangunan,” ujar Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian Robert Jullong ketika ditemui media sempena program berkenaan, pada Khamis.

Turut hadir, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Serian Dizon Gembang dan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Serian Razemah Azol. -EDISI UKAS