Sarawak & Pulau Pinang Teroka Sinergi Semikonduktor

Posted on 28 Aug 2025
Source of News: UKAS


PULAU PINANG: Kerajaan Sarawak berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Pulau Pinang, khususnya dalam sektor semikonduktor sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat aspirasi Malaysia muncul sebagai hab teknologi tinggi serantau.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama itu penting kerana Pulau Pinang mempunyai kepakaran dan ekosistem elektronik bertaraf dunia.

“Sarawak, sebagaimana yang dihasratkan Kerajaan Malaysia, akan muncul sebagai hab strategik bagi industri semikonduktor dan aeroangkasa.

"Ia juga berperanan sebagai pelengkap kukuh kepada kepimpinan Pulau Pinang yang sudah lama menerajui sektor elektronik berteknologi tinggi dan pembuatan maju dengan kepakaran bertaraf dunia, infrastruktur moden serta rangkaian pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Seminar Pelaburan Semikonduktor Sarawak di sini, hari ini.

Datuk Amar Awang Tengah menambah, menjelang 2030, Sarawak bakal menjana sekitar 5,700 MW tenaga boleh diperbaharui daripada empangan utama seperti Bakun, Murum dan Baleh, sekali gus mewujudkan salah satu grid tenaga paling bersih di Asia Tenggara.

Keupayaan itu, ujarnya, menjadikan Sarawak lokasi ideal untuk pengeluaran cip hijau yang mematuhi piawaian ESG global.

Beliau sebelum itu mengadakan kunjungan hormat serta perbincangan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, di mana kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam semangat perpaduan nasional dan kemakmuran bersama.

“Melalui kerjasama dalam reka bentuk semikonduktor, teknologi hijau dan penyelidikan serta pembangunan, Sarawak dan Pulau Pinang dapat membentuk rantaian nilai teknologi tinggi yang lengkap, merangkumi pembuatan, reka bentuk cip, inovasi aeroangkasa dan pengeluaran mapan,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat PKS MINTRED, Dato’ Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron serta Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern.-EDISI UKAS