PBT Sarawak Antara Yang Terbaik Dalam Malaysia Dari Aspek Pembangunan Mampan

Posted on 28 Aug 2025
Source of News: UKAS


PADAWAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak antara yang terbaik dalam Malaysia dari aspek pembangunan mampan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, berdasarkan laporan Urbanice Malaysia bagi pelan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sarawak, majlis bandaraya di wilayah ini mencatatkan pencapaian 67peratus, jauh mengatasi purata kebangsaan yang hanya 57 peratus manakala di peringkat majlis perbandaran, Sarawak mencatat 60 peratus, berbanding hanya 46 peratus secara nasional.

“Saya sering tegaskan bahawa standard kita di Borneo atau lebih tepat, standard Sarawak adalah lebih tinggi daripada standard kebangsaan.

“Maka, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli majlis, pengerusi, dan semua yang terlibat atas usaha cemerlang yang telah mengharumkan nama Sarawak,” ujar beliau semasa berucap dalam Upacara Pecah Tanah Pejabat Baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP), di sini, pada Khamis.

Hadir menyempurnakan upacara berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut berkongsikan kejayaan Sarawak dalam Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets), di mana Majlis Perbandaran Padawan (MPP) diiktiraf sebagai bandar paling mampan di Malaysia tahun lalu, sekaligus menerima geran RM200,000 sebagai pengiktirafan manakala Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut diiktiraf sebagai salah satu PBT paling mampan di Malaysia.

Selain itu katanya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan MPP telah menerima Anugerah Perintis Bandar Pintar, di mana masing-masing menerima pembiayaan sebanyak RM400,000 sebagai sokongan terhadap komitmen dan kejayaan awal mereka dalam menyediakan perkhidmatan pintar yang berfokuskan rakyat. -EDISI UKAS