PADAWAN: Sarawak menegaskan keperluan untuk melaksanakan pembangunan bersepadu dalam usaha mewujudkan bandar pintar yang mesra alam dan sihat kepada penduduknya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sekitar Kuching iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Majlis Daerah Serian perlu bekerjasama untuk menyediakan persekitaran bandar yang lestari, sihat dan mampan untuk generasi akan datang.
Menurut beliau, meskipun kelima-lima majlis tersebut berada di bawah bidang kuasa masing-masing, namun penting untuk wujud ‘interconnection’ antara mereka bagi memastikan perancangan jangka panjang yang menyeluruh dan mampan.
“DBKU, MBKS, MPP, MPKS dan MDS mesti ada ‘seamless development’ walaupun ia di bawah bidang kuasa kawasan masing-masing tetapi perlu ada ‘interconnection’ di antara kelima-lima ini sebab ianya untuk perancangan masa depan kita.
“Hal ini kerana sistem Transit Aliran Autonomi (ART) kita akan menggunakan laluan dari Kuching ke Serian, melimpasi Kota Samarahan yang dibuat secara berfasa dan ini mengambil kira pembangunan bandar pintar yang tidak mengeluarkan karbon yang mesra alam,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Upacara Pecah Tanah Pejabat Baharu MPP, di sini, pada Khamis.
Jelasnya, pembangunan ini perlu mengambil kira konsep bandar pintar yang bukan sahaja bebas daripada pembebasan karbon, tetapi juga mesra alam dan tidak menjejaskan kesihatan orang awam.
“Yang keduanya ialah, apa yang dikeluarkan dalam bandar ini tidak akan menjejaskan kesihatan kerana antara sebab orang semakin ramai yang sakit adalah disebabkan asap dan udara yang tidak bersih sekaligus menjejaskan kesihatan kita,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim, ADUN Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Elizabeth Loh, Pengerusi MPP Tan Kai serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS