Mangsa Kebakaran Kampung Haji Baki Terima Bantuan, Libatkan Jumlah Keseluruhan RM34,100

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak lapan keluarga yang terlibat dalam nahas kebakaran di Kampung Haji Baki pada 22 Mac lalu menerima bantuan daripada Kerajaan Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM34,100.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemberian bantuan kepada kelapan-lapan keluarga tersebut adalah berdasarkan bilangan isi rumah serta peringkat umur mereka.

“Dari segi bantuan yang kita berikan adalah mengikut bilangan ahli keluarga di dalam rumah tersebut dan umur juga faktor penting dalam menentukan jumlah bantuan yang akan diberikan.

“Sekiranya ada anak kecil yang masih bersekolah, maka ada bantuan tambahan yang akan diberikan dari segi bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pemberian bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Haji Baki pada Rabu.

Antara bentuk bantuan yang diterima oleh mangsa adalah bantuan wang saku, pakaian harian, pakaian sekolah, peralatan sekolah, peralatan dapur dan bantuan bahan binaan membaiki kerosakan yang dialami.

Turut disumbangkan adalah bantuan makanan dan barangan keperluan tidur yang disampaikan terus pada hari kejadian.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memberitahu bahawa pihak kerajaan turut mengsubsidikan bayaran sewa rumah sementara bertempat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Landeh.

“Mereka dibantu oleh kerajaan dari segi sewa di mana mereka hanya perlu membayar RM50 manakala RM200 akan disubsidikan oleh kerajaan,” jelas beliau lagi.

Bagi empat buah rumah yang terbakar sepenuhnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut menyediakan dana untuk membina rumah baharu berjumlah RM70,000 yang mana kontraktor akan dipilih untuk membina baharu rumah dengan kos tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak Adana Jed, Penghulu Kampung Haji Baki Sabtuyah Yusuf dan Ketua Kampung Haji Baki Blok C Rosli Ahmad Darus. -EDISI UKAS