Kerajaan Sarawak Peruntuk RM60 Juta, Bangunkan Pejabat Baharu MPP

Posted on 28 Aug 2025
Source of News: UKAS


PADAWAN: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk membangunkan bangunan pejabat baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang terletak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan ini disalurkan menerusi dana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memulakan kerja-kerja dua pakej dalam fasa pertama pembinaan bangunan baharu MPP ini nanti.

“Saya difahamkan semasa perbincangan dengan Dato Ir Lo Khere Chiang dan pihak konsultan, jumlah keseluruhan pembinaan bangunan ini adalah sebanyak RM70 juta di mana mereka mempunyai dana sedikit tetapi masih memerlukan RM60 juta maka saya luluskanlah kepada mereka untuk membina bangunan baharu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Upacara Pecah Tanah Pejabat Baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini pada Khamis.

Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kerajaan Sarawak akan terus berusaha mecari dana tambahan memandangkan projek pembinaan baharu pejabat MPP ini akan melibatkan lima fasa, di samping untuk memenuhi kehendak Majlis Daerah Serian (MDS) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) yang ingin memiliki bangunan pejabat sendiri pada masa yang akan datang.

“Yang ini (dana) baru untuk fasa pertama dan Pengerusi MPP, Tan Kai sebentar tadi ada menyebut beberapa fasa dan untuk memenuhi permintaan ini, kerajaan Sarawak harus mempunyai pendapatan yang lebih.

“Alhamdulillah, sekarang Sarawak mempunyai pendapatan yang lebih tetapi ianya perlu ditambah lagi memandangkan banyak pembangunan kita jalankan dan ini baru untuk Padawan, belum lagi termasuk permintaan Pengerusi MDS, Dato Peter Minos di Serian dan MPKS di mana kita telah bersetuju untuk membina bangunan mereka sendiri,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Tan Kai mendedahkan fasa pertama projek ini akan melibatkan dua pakej iaitu kerja-kerja pembersihan tapak yang telah bermula Julai 2025 manakala pakej keduanya akan bermula pada suku kedua tahun hadapan melibatkan pembinaan bangunan utama setinggi sembilan tingkat yang dijangka memakan masa tiga tahun untuk disiapkan.

Sementara itu, fasa keduanya akan melibatkan kerja pembangunan bangunan kemudahan awam setinggi dua tingkat, fasa ketiga akan merangkumi pembinaan sebuah amfiteater terbuka bersama-sama dengan ‘wetland pond’, fasa keempat adalah pembinaan pasar festival dan fasa kelima akan melibatkan kerja pembinaan pembangunan pusat sukan bersepadu.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim, ADUN Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Elizabeth Loh, Pengerusi MPP Tan Kai serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS