
Detik bersejarah pemeteraian Perjanjian Jual Beli antara kerajaan Sarawak dan MAG pada 12 Februari lepas.
KUCHING: Keputusan kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri - AirBorneo - selepas mengambil alih MASwings dilihat sebagai tindakan berani yang bakal mengubah landskap sektor penerbangan di rantau ini.
Tahniah Sarawak kerana menjadi negeri pertama mempunyai syarikat penerbangan sendiri - satu lagi pencapaian bersejarah dalam usaha untuk memodenkan sistem pengangkutannya selepas membangunkan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang sedang rancak dalam pembinaan.
Sebagai anak jati Bumi Kenyalang, penulis tumpang bangga dengan kejayaan terbaru kerajaan Sarawak pimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sentiasa gigih dan kreatif mencari formula di luar kotak pemikiran rakyat untuk mentransformasikan Sarawak sebagai negeri maju.
Penubuhan AirBorneo bukan semata-mata untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri, sebaliknya langkah strategik untuk menerobos potensi penuh Sarawak sebagai wilayah kemakmuran dan kemampanan ekonomi dengan meningkatkan rangkaian keterhubungan udara.
Ia testimoni kesungguhan kerajaan Sarawak yang agresif dalam mengejar status negeri maju menjelang 2030, visi jelas Premier digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
AirBorneo bukti Premier Sarawak tidak menjual air liur kosong - menyangkal pandangan skeptikal keupayaan negeri ini untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Semasa berucap pada majlis pemeteraian Perjanjian Jual Beli (SPA) antara kerajaan negeri dan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) pada 12 Februari lepas, beliau menggariskan hala tuju dan objektif jelas penubuhan AirBorneo - untuk meningkatkan hubungan serantau dan memperkasa ekonomi Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan pelaburan yang berani dalam memperoleh MASwings, keputusan yang berakar umbi dalam komitmen kami untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita.
“Langkah strategik ini bukan sekadar untuk memiliki syarikat penerbangan - ia membuka potensi penuh Sarawak sebagai lokasi strategik untuk kemakmuran dan kemampanan ekonomi dengan meningkatkan dan mengembangkan rangkaian keterhubungan udara,” katanya.

Kerajaan Sarawak melengkapkan pengambilan MASwings.
Hab Penerbangan Serantau
Sejak mula beroperasi pada 1 Oktober 2007, MASwings telah menjadi nadi utama perhubungan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak melalui perkhidmatan udaranya.
Anak syarikat MAG ini mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 dan enam DHC-6-400 Twin Otter yang beroperasi di 22 destinasi termasuk Brunei Darussalam melalui perkongsian kod.
Peranan itu akan diteruskan AirBorneo apabila ia mula beroperasi kelak, sebelum perlahan-lahan melebarkan perkhidmatannya ke destinasi antarabangsa lain dalam radius penerbangan 4 hingga 5 jam dari Bandaraya Kuching.
Dengan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, AirBorneo berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab penerbangan utama di Kepulauan Borneo, mengukuhkan jaringan bersama negara jiran Indonesia dan Brunei Darussalam.
Malah, AirBorneo akan menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN, membuka peluang baharu dan memupuk ketersambungan dan kebolehcapaian yang lebih luas ke destinasi domestik dan antarabangsa, yang akan memberi impak besar kepada ekonomi dan sektor pelancongan negeri ini.
AirBorneo akan menyediakan rangkaian udara baharu dan lebih banyak pilihan perjalanan terus dan lebih pendek, memudahkan pergerakan penumpang domestik mahupun antarabangsa.
Beberapa laluan antarabangsa dalam radar AirBorneo selepas pembelian pesawat yang lebih besar, antaranya Singapura, Jakarta, Bali, Hong Kong, Thailand, Korea, China, Australia dan Jepun.
Dengan siapnya lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang kelak, kedua-dua entiti ini akan mewujudkan sinergi ampuh dalam mengukuhkan peranan negeri ini sebagai pintu masuk ke ASEAN dan menjadi hab pelancongan serantau.

Premier Sarawak bersama tetamu kehormat lain memperkenalkan logo dan slogan AirBorneo.
Tambang murah
Salah satu janji Premier Sarawak apabila AirBorneo mula beroperasi kelak adalah untuk memastikan tambangnya mampu milik kepada rakyat negeri ini.
Walaupun model operasi syarikat itu belum didedahkan, namun konsep tambang murah yang akan diperkenalkan itu mewujudkan keterujaan rakyat Sarawak khususnya pelajar atau mereka yang bekerja di Semenanjung Malaysia.
Dengan menyediakan harga tambang kompetitif, AirBorneo berpotensi untuk menjadi pilihan kepada para pengembara perniagaan atau pelancong, mewujudkan persaingan sihat dalam industri penerbangan negara.
Bagaimanapun pula soal untung rugi kerana sudah tentu operasi AirBorneo akan menelan kos yang tinggi?
Premier Sarawak sebelum ini menegaskan, model perniagaan AirBorneo bukanlah berasaskan keuntungan semata-mata.
Analoginya seperti pembinaan jambatan yang tidak memberi pulangan pelaburan segera walaupun kos pembinaannya menelan jutaan ringgit.
Namun, keterhubungan yang wujud akan merancakkan pembangunan kawasan, membuka pelbagai peluang ekonomi yang akan membawa kemakmuran kepada Sarawak dan rakyat di kemudian hari.
“Kita ingin bawa pelancong masuk ke Sarawak, mereka berbelanja, hotel penuh, sayur dan ikan habis, dan ini bermakna semua rantaian ekonomi akan mendapat manfaat dan ia juga mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

MASwings kini milik kerajaan Sarawak.
Jana Pekerjaan & Tenaga Mahir
AirBorneo bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, pentadbiran, perkhidmatan pelanggan, logistik dan pelbagai sektor berkaitan.
Bagi membekalkan tenaga kerja kepada AirBorneo di masa hadapan, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS)
telah mengambil inisiatif dengan menawarkan kursus latihan untuk kru kabin penerbangan dan bidang-bidang berkaitan.
Inisiatif tersebut bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dalam bidang penerbangan termasuk pengendalian darat.
Malah CENTEXS dengan kerjasama Kolej Universiti i-CATS turut memperkenalkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa yang menawarkan ijazah bermula Ogos lalu.
Selain menjadi pemangkin kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang aeroangkasa, tenaga mahir yang lahir dari program tersebut bakal memenuhi kapasiti tenaga kerja di AirBorneo apabila ia mula beroperasi pada 2026 kelak.
Lawatan ke Toulouse, Perancis baru-baru ini untuk menjalin kerjasama bersama syarikat Air Bus bukti keseriusan Premier Sarawak mahu mengembangkan potensi anak tempatan dalam sektor penerbangan yang seterusnya akan menyumbang kepada kemampanan AirBorneo di masa hadapan.

Logo AirBorneo.
Sokong Aspirasi Ekonomi Digital & Hijau
AirBorneo berpotensi menjadi sebahagian daripada agenda Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau Sarawak melalui penggunaan teknologi digital dalam operasi penerbangan serta langkah ke arah penerbangan hijau.
Antara inisiatif yang boleh diterokai ialah penggunaan sistem tiket digital mesra pengguna, pengurusan data penerbangan yang pintar serta penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang sedang Sarawak usahakan kini.
Dengan langkah ini, AirBorneo bukan sahaja menjadi penyedia perkhidmatan penerbangan, tetapi juga ikon inovasi dan kelestarian di rantau ini.
Harapan baharu rakyat Sarawak
Kemunculan AirBorneo bukan hanya melengkapkan landskap penerbangan di Sarawak, tetapi juga melambangkan cita-cita besar negeri ini untuk berdiri setara dengan hab penerbangan serantau lain.
Jika diurus dengan bijak dan disokong dengan strategi pembangunan menyeluruh dan pengurusan yang cekap, AirBorneo boleh menjadi nadi baharu yang menggerakkan pelancongan, perdagangan, dan peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekonomi global.
Dari Borneo ke pentas dunia, AirBorneo menjadi simbol aspirasi baharu Sarawak menuju masa depan yang lebih makmur, berdaya saing dan mampan.
Bukan sekadar menonjolkan identiti dan budaya, sayap baharu ini akan mengetengahkan kekuatan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu di rantau ini ke seluruh dunia. - EDISI UKAS