Perkasa Usaha Pemimpin Dayak Terdahulu Yang Telah Berjuang Untuk Pengiktirafan Gawai Dayak

Posted on 31 May 2024
Source of News: UKAS




KUCHING: Masyarakat Dayak diseru agar terus memperkasakan usaha-usaha para pemimpin Dayak terdahulu seperti mendiang Dato Sri Tra Zehnder yang telah berjuang supaya Gawai Dayak diiktiraf oleh pihak kerajaan.
 
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komuniti Dayak sewajarnya memperkasakan pengiktirafan itu sebagai identiti dan kuasa penyatuan kaum tersebut di Bumi Kenyalang.
 
Menurut beliau, dari segi budaya, Gawai Dayak merupakan pesta selepas musim menuai padi mengikut tradisi kaum Dayak untuk meraikan hasil tuaian yang baik.
 
“Amat wajar untuk meraikan usaha yang telah membuahkan hasil, bukan sahaja dari segi hasil tuaian di sawah atau huma padi, kerana maksud ‘hasil tuaian’ itu pada era moden ini harus meliputi bidang-bidang lain termasuk kemajuan perniagaan atau pekerjaan.
 
“Untung yang banyak, kenaikan pangkat dan gaji yang lumayan juga harus diraikan seperti merayakan kesyukuran daripada hasil tuaian padi yang banyak,” jelasnya dalam perutusan beliau sempena sambutan Hari Gawai 2024 pada Jumaat.
 
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, masyarakat Dayak zaman dahulu lebih berkisar pada tradisi menanam padi untuk menyara kehidupan keluarga, atau dikenali sebagai ‘subsistence farming’, dan bukan berbentuk perniagaan.
 
Beliau menjelas lanjut, hasil tuaian pada era kini pula banyak bergantung kepada penggunaan teknologi dan jentera seperti di kawasan-kawasan yang sudah maju dalam penanaman padi dan pengeluaran beras dengan sumber yang terhad.
 
Dalam hal ini, Datuk Patinggi Abang Zohari telah meminta pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Bintulu untuk melakukan penyelidikan di beberapa lokasi di Gedong dan Lubuk Punggur, Simunjan bagi mempertingkatkan hasil pengeluaran beras dengan benih hibrid yang berkualiti tinggi.
 
“Kajian tersebut yang menggunakan kaedah baharu telah menunjukkan bahawa 1 hektar padi mampu mengeluarkan 8 tan padi dalam satu musim berbanding kaedah lama yang hanya boleh mengeluarkan 1 tan sahaja.
 
“Di samping itu, dengan kaedah baru ini, petani mampu menanam sebanyak lima musim dalam tempoh 24 bulan. Kajian juga sedang dibuat untuk mengeluarkan benih hibrid yang mencukupi untuk kegunaan di seluruh Sarawak,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS