KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa segera memulihkan semula komposisi 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Senator Pele Peter Tinggom menegaskan persempadanan semula sejak tahun 1965 telah menyebabkan perwakilan kedua-dua wilayah itu merosot kepada sekitar 25 peratus, sekali gus bercanggah dengan semangat MA63 serta Laporan Inter-Governmental Committee (IGC).
“Komposisi asal ini perlu dipulihkan segera agar tidak membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan MA63 yang menjadi asas penubuhan Malaysia,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada Persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Senator Pele turut membangkitkan isu borang rasmi kerajaan yang masih mengkategorikan etnik Sabah dan Sarawak sebagai “lain-lain”.
Beliau menegaskan perkara tersebut bercanggah dengan Perkara 161A(7) Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengiktiraf kedudukan etnik di kedua-dua wilayah berkenaan.
“Ini amat menyedihkan. Sampai hari ini, borang rasmi kerajaan masih meletakkan etnik Sarawak dan Sabah sebagai lain-lain. Ia mesti dihentikan segera,” tegasnya sambil mengingatkan bahawa isu tersebut pernah ditegur oleh mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Jelas beliau lagi, langkah memperbetulkan isu perwakilan kerusi Parlimen serta pengiktirafan etnik akan mengembalikan keadilan dan memastikan hak Sabah serta Sarawak terus terpelihara dalam Persekutuan Malaysia.-EDISI UKAS