Fenomena Benak Bakal Jadi Tarikan Utama Pesta Benak 2025

Posted on 27 Aug 2025
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Pesta Benak 2025 dijangka berlangsung meriah di Sri Aman Waterfront, Bandar Simanggang pada 19 hingga 21 September depan dengan pelbagai pengisian acara menarik untuk semua lapisan masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Pesta Benak 2025, Datuk Francis Harden Hollis bersama Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pesta Benak 2025 tampil di TVS hari ini bagi mempromosikan acara tahunan yang menjadi ikon Bahagian Sri Aman.

Antara acara utama yang akan menjadi tumpuan ialah Regatta Benak Batang Lupar, Benak Road Trails Run, Miss Tourism Benak 2025, Festival Gendang Sarawak (FGS 2025), serta program ATM Bersama Komuniti Benak.

Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan seperti pameran pembangunan, pameran dan gerai jualan usahawan MPUB, Bazaar Ria Benak, Pentas Perpaduan serta Pentas Kebudayaan yang dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Pesta Benak sinonim dengan fenomena 'benak' iaitu istilah tempatan bagi kejadian air pasang yang menghasilkan alunan ombak bergerak ke hulu sungai.

Fenomena unik di Sungai Batang Lupar ini berlaku apabila muara sungai yang luas dan dasar cetek menyebabkan arus pasang membentuk gelombang beralun.

Keunikan fenomena alam ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan utama negeri, malah turut memperkukuh perpaduan komuniti serta merancakkan pembangunan ekonomi setempat.

Dengan promosi awal Jawatankuasa Pesta Benak yakin edisi kali ini akan lebih meriah serta menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan keunikan Sri Aman ke peringkat antarabangsa.

Turut hadir, Pegawai Daerah Sri Aman Sharif Bujang, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin, Setiausaha Jawatankuasa Induk Pesta Benak 2025, Ramon Addy Mroon @ Ambrose serta Setiausaha Jawatankuasa Regatta Benak 2025, Mohd Hamizan Yahya. –EDISI UKAS