ADUN Kabong Pengerusikan Mesyuarat Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Kabong

Disiarkan pada 26 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KABONG: Mesyuarat penyelarasan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN N.40 Kabong Tahun 1447 Hijrah/2025 Masihi telah dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir di sini pada Selasa.

Mesyuarat berkenaan diadakan bagi mendengar laporan daripada jawatankuasa kecil serta membincangkan pengisian pelbagai program sempena sambutan berkenaan.

Antara acara utama yang akan dianjurkan ialah Perarakan Maulidur Rasul dan Pertandingan Sepanduk, selain pertandingan sampingan seperti Azan dan Zikir Marhaban yang akan berlangsung di Masjid Assabirin, Kabong.

Hampir 45 kontinjen dijangka menyertai perarakan kali ini yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu di mana Kategori A untuk jabatan kerajaan, agensi, badan berkanun, swasta dan institusi pendidikan, Kategori B untuk masjid, surau, kelab, persatuan dan pertubuhan serta Kategori C untuk JKKK.

Bagi acara perarakan, hadiah disediakan kepada johan berupa RM1,000 serta piala iringan, naib johan pula RM700 dan piala iringan manakala tempat ketiga RM500 dan piala iringan.

Selain itu, setiap kontinjen turut menerima saguhati bernilai RM200.

Pertandingan sepanduk pula akan dinilai secara keseluruhan, dengan pemenang akan membawa pulang RM1,000 dan piala iringan, naib johan RM700 dan piala iringan dan tempat ketiga RM500 serta piala iringan.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong Kr Ulin Tabur yang juga Pengerusi Bersama, selain wakil jabatan kerajaan, pengerusi masjid dan surau sekitar Kabong serta ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS