MIRI: Mesyuarat persediaan bagi Program Rakan UKAS 2025: Kembara 169 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Miri, Kompleks Islam Sarawak pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Penolong Pengarah Pejabat-pejabat UKAS Bahagian, Anwar Hanafi Ardimansyah itu membincangkan persediaan awal pelaksanaan program termasuk pengenalan, perincian perjalanan konvoi serta agihan tugas kepada jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Program.
Sebanyak sembilan kelab permotoran dari Bahagian Miri mengesahkan penyertaan, antaranya Brother Bikers Miri Club (BBMC), Permaisuri Riders Miri Group (PRMG), Scooter Moto Club (SMC), Miri Riders Motor Club (MRMC), Santai Biker Team Bekenu (SBTB), MYY Maxiscooter Motorsport Club (MMMC), Dayak Bikers Mother Chapter (DBMC), Freedom Motive Riders (FMR) dan Ronin Bikers Motorcycle Club (RBMC).
Program Kembara 169 yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September ini menghimpunkan seramai 169 penunggang motosikal dengan objektif menjalin silaturahim komuniti, mengukuhkan jaringan Rakan UKAS, memupuk semangat patriotisme, memperkasakan belia serta menghayati sambutan Hari Malaysia melalui pendekatan interaktif.
Konvoi akan dilepaskan dari Waterfront Bekenu dan berakhir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, dengan ketibaan disambut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin bersama warga IKBN Miri.
Acara berkenaan akan diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, serta dijangka turut disertai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II, Datuk Dr Ripin Lamat dan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Turut hadir dalam mesyuarat persediaan ini termasuk Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar IKBN Miri, Kaya Raju, wakil Residen Bahagian Miri, Nur Mukhlisya Abdullah, wakil Pegawai Daerah Subis, Fauziliana Osman selain wakil jabatan dan agensi lain di bawah jawatankuasa berkenaan.-EDISI UKAS