LAWAS: Daerah Lawas bakal menyaksikan pembangunan pesat apabila Projek LEPAPA yang menampilkan 150 unit apartmen, sebuah hotel 50 bilik, premis perniagaan serta taman tema air dirancang dibangunkan di kawasan ini.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan berskala besar yang melibatkan 10 lokasi di Sarawak, kata Pengerusi LEPAPA, Lee Chin Teck, semasa lawatan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ke tapak projek berkenaan.
Datuk Amar Awang Tengah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, menyatakan penghargaan kepada pihak swasta kerana menyokong agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata, selain projek LEPAPA, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai projek infrastruktur lain bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Lawas.
“Jalan raya akan diperbesarkan, bekalan elektrik yang menyambungkan Limbang dan Lawas ke state grid dijangka siap Oktober 2025, manakala sebuah loji baharu di Pengalih akan memperkukuh bekalan air bersih. Kemudahan telekomunikasi juga sedang dinaik taraf,” katanya.
Tambah beliau, projek besar lain seperti Lapangan Terbang Baharu Lawas, NCH dan Lebuhraya Pan Borneo (SSLR) bakal merancakkan lagi pembangunan ekopelancongan daerah ini.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Limbang, Unus Tambi; dan Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abd Latif.-EDISI UKAS