CGC, Affin Bank Meterai MoU RM500 Juta Sokong PMKS & Syarikat Pertengahan

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bersama Affin Bank memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM500 juta bagi memperluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC) kepada pemilik perusahaan dan syarikat seluruh Malaysia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, inisiatif ini membekalkan modal sokongan dalam membantu perniagaan tempatan mengembangkan operasi, mempelbagaikan perkhidmatan bagi mewujudkan manfaat jangka panjang untuk masyarakat.

Tambahnya, modal sokongan RM500 juta ini akan memperluas akses pembiayaan kepada PMKS dan syarikat pertengahan (MTC) Malaysia melalui skim jaminan berstruktur seperti Portfolio Guarantee dan Bespoke BizJamin.

"Walaupun mandat kami adalah di peringkat nasional, pemeteraian MoU hari ini di Kuching mencerminkan potensi besar yang kami lihat di Sarawak dan Sabah.

"Kami komited memperluas akses pembiayaan serta mengukuhkan daya tahan dan kelestarian perusahaan tempatan di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani MoU antara Kumpulan AFFIN dan CGC untuk Pembiayaan RM500 Juta untuk PKMS dan MTC di sebuah hotel terkemuka di sini pada Isnin.

MoU ini ditandatangani oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Group Datuk Wan Razly Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin serta Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Hadir menyaksikan majlis penuh bermakna tersebut, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi Affin Bank Berhad Dato’ Agil Natt, Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad Musa Abdul Malek dan Pengerusi CGC Malaysia Dato’ Mohammed Hussein.

Dalam pada itu, Dato’ Paduka Syed Mashafuddin dalam ucapannya menyatakan, kerjasama bersama CGC akan disediakan di bawah skim jaminan berstruktur, termasuk pelancaran baharu Bizjamin/-i MTC melalui penyediaan kemudahan kredit.

Jelasnya, ini bagi menyampaikan penyelesaian tepat untuk perniagaan di setiap peringkat pertumbuhan daripada syarikat pemula yang sedang membina asas, perusahaan yang ingin memperluas capaian, sehinggalah korporat yang bersedia melonjak ke tahap lebih tinggi.

"Dengan kemudahan berasaskan jaminan, penyelesaian modal kerja, serta pembiayaan lestari yang selaras dengan keutamaan nasional, Bizjamin/-i MTC diyakini mampu memberikan impak yang inklusif dan berkekalan.

"Bersama CGC Malaysia, kami akan memperluas akses pembiayaan, meningkatkan kemampuan pemilikan, serta memupuk pertumbuhan bertanggungjawab dalam sektor-sektor utama ekonomi negara," katanya. -EDISI UKAS