RM3.61 Juta Naik Taraf Jalan Ling Kai Cheng, Dijangka Siap Januari 2026

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Projek menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng, salah satu laluan utama di bahagian utara bandar Sibu yang sering dilanda banjir, kini bermula bagi mengatasi masalah banjir berulang yang menjejaskan kelancaran lalu lintas di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata projek yang menelan kos sebanyak RM3.61 juta itu dijangka siap dalam tempoh empat bulan bermula 18 September 2025 dan dijangka siap pada 17 Januari 2026.

Menurut beliau, peruntukan projek berkenaan merangkumi dana khas daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di bawah Tabung Bantuan Bencana Alam, selain tambahan melalui peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Saya telah berjanji sejak Februari lalu untuk menaik taraf jalan ini. Walaupun melalui pelbagai prosedur kerajaan, akhirnya kita dapat melancarkan projek ini hari ini.

"Saya berterima kasih kepada YAB Premier Sarawak kerana meluluskan dana tambahan RM2.5 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Alam, selain saya turut menyalurkan dana RM1.11 juta daripada Program Transformasi Luar Bandar (RTP), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.61 juta,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan projek berkenaan pada Isnin.

Datuk Michael Tiang menjelaskan, kerja-kerja naik taraf jalan melibatkan ketinggian purata setinggi 750 milimeter (mm) sepanjang satu kilometer di kedua-dua arah laluan bermula dari simpang Jalan Deshon sehingga ke jambatan berdekatan.

Ujarnya, reka bentuk projek ini juga mengambil kira sistem saliran yang baik agar tidak menjejaskan kawasan perumahan berhampiran.

Sepanjang tempoh pembinaan, katanya, Majlis Perbandaran Sibu (SMC) akan menempatkan warden trafik bagi memastikan aliran lalu lintas terkawal.-EDISI UKAS