KUCHING: Graduan Sarawak, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menunjukkan pencapaian membanggakan apabila mencatatkan 96 peratus kadar kebolehpasaran setakat Oktober 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis, berkata kejayaan ini membuktikan latihan berasaskan industri mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mudah menembusi pasaran pekerjaan.
“Menjelang 2025, kita menyasarkan peningkatan enrolmen TVET sebanyak 20 peratus dan aliran sains sebanyak 40 peratus, selain pengurangan kadar pengangguran negeri sebanyak 1.2 mata peratus.
“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap graduan bersedia untuk pasaran kerja dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika merasmikan Bengkel Kebolehpasaran Graduan dan Kesiapsiagaan Industri di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, TVET kekal sebagai tonggak utama pembangunan tenaga kerja di negeri ini dengan sasaran 30 peratus tenaga kerja mahir atau kira-kira 500,000 pekerja menjelang 2030, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, ekonomi digital dan pembuatan teknologi tinggi.
Beliau menegaskan, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) turut memberi fokus kepada pewujudan kerangka latihan industri negeri, penubuhan Portal Penempatan Berpusat serta pembentukan Majlis Universiti–Industri Sarawak (SUIC) sebagai platform maklum balas berstruktur.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada KPI kementerian. Kejayaan PCDS 2030 bergantung pada pelaksanaan nyata, bukan sekadar perancangan.
“Kerajaan negeri mahu memastikan pendidikan di Sarawak melahirkan graduan yang kompetitif, adaptif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Anelia Siam semasa majlis penutupan bengkel berkenaan berkata, kebolehpasaran graduan dan kesediaan mereka untuk memasuki industri merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan, universiti dan pihak industri.
Menurut beliau, meskipun kerajaan menyediakan dasar, polisi serta pelaburan asas bagi pembangunan bakat, sokongan penuh daripada industri amat diperlukan untuk memastikan graduan yang dihasilkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Dasar kerajaan hanyalah menyediakan platform. Namun, industri perlu memanfaatkan peluang ini untuk mencipta lebih banyak ‘spin-off’ ekonomi.
“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan kerana akhirnya tenaga kerja ini akan digunakan oleh industri sendiri,” katanya.-EDISI UKAS
FOTO: i-Cats UC