PUSA : Kampung Tambak yang terletak di kawasan Beting Maro, muncul sebagai pusat pengeluaran gula apong atau nipah terbesar di Malaysia, sekali gus mengangkat nama kawasan ini di persada nasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata potensi besar gula apong ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk serta memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.
“Di Beting Maro, kita amat bertuah kerana Kampung Tambak menjadi kampung pengeluar produk apong atau nipah yang terbesar di Malaysia.
“Produk ini mendapat permintaan tinggi dan sangat berpotensi untuk dipasarkan lebih luas lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Perjumpaan KMKK dan Ranting PBB kawasan Beting Maro di Dewan Al Amin, Beladin pada Isnin.
Tambahnya, gula apong bukan sahaja melambangkan identiti kawasan tetapi juga mampu menjadi pemacu kepada pembangunan sosioekonomi penduduk luar bandar melalui pertanian dan perusahaan kecil.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat setempat untuk merebut peluang yang disediakan kerajaan melalui pelbagai inisiatif serta memperkukuhkan daya saing produk gula apong agar terus menjadi kebanggaan Beting Maro di persada nasional.-EDISI UKAS