Sarikei Semarakkan Hari Kebangsaan Dengan Pengibaran Jalur Gemilang

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Penduduk di bawah pentadbiran Majlis Daerah Sarikei (MDS) diseru untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sarawak di premis masing-masing sebagai tanda perpaduan dan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Konselar Stephen Wong Kie Yong berkata, tindakan itu akan menyemarakkan lagi suasana sambutan selain mencerminkan rasa bangga masyarakat terhadap tanah air.

“Sarikei telah dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat negeri pada tahun ini dan ini merupakan satu penghormatan besar bagi kita penduduk kawasan Sarikei,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau menambah, pengibaran bendera bukan sekadar simbol semangat patriotisme, tetapi juga menjadi peringatan bahawa semua rakyat bertanggungjawab untuk terus memelihara keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.

Menurutnya, notis pemakluman mengenai pengibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sarawak telahpun dikeluarkan oleh Majlis Daerah Sarikei sejak 11 Ogos lalu.-EDISI UKAS