Tempoh Kelulusan Lesen Perniagaan Dipendekkan Dengan Prosedur Seragam Baharu

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Proses kelulusan lesen perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Sarikei kini dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat berikutan penguatkuasaan prosedur baharu “Standardization Of Local Authority Operating License Applications In Sarawak” mulai 24 Mac 2025.

Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Konselar Stephen Wong Kie Yong berkata kelulusan lesen yang dikategorikan sebagai berisiko rendah hanya mengambil masa antara tiga hingga 14 hari bekerja manakala lesen berisiko tinggi pula dapat diluluskan dalam tempoh 15 hingga 60 hari bekerja.

“Prosedur ini diperkenalkan bagi mempercepatkan proses kelulusan lesen serta meningkatkan kecekapan operasi di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak.

“Sebelum ini, tempoh kelulusan boleh mengambil masa sehingga tiga bulan selain tiada keseragaman dalam proses permohonan di PBT,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau menambah, kuasa kelulusan lesen kini diberikan kepada Setiausaha Majlis atau pegawai yang diberi kuasa, sekali gus membolehkan proses pemprosesan dilaksanakan dengan lebih efisien.

Jelasnya lagi, langkah itu selaras dengan aspirasi di bawah PCDS 2030 di bawah teras Kemakmuran Ekonomi: Kemudahan Menjalankan Perniagaan, bertujuan mempercepatkan urusan pemberian lesen serta meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan Majlis.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pemilik perniagaan di Daerah Sarikei supaya memohon lesen melalui Majlis Daerah Sarikei bagi memastikan operasi perniagaan dijalankan mengikut undang-undang.

Borang permohonan lesen boleh diperolehi daripada Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar Majlis Daerah Sarikei.-EDISI UKAS