
Tom dijulang jurulatih dan rakan sepasukannya selepas memenangi pingat emas pada SUKMA Sarawak 2024.
KUCHING: Bergelar pesalah juvana bukan beerti penamat kehidupan bagi remaja yang pernah tersilap langkah dalam kehidupannya.
Jika diberi peluang dan bersungguh-sungguh untuk berubah, pesalah juvana mungkin boleh muncul menjadi insan hebat dari remaja yang berada di luar sana.
Dan ia dibuktikan oleh pelatih Sekolah Henry Gurney (SHG) Penjara Puncak Borneo, Clarkson Evans Tom, 20, yang kini sedang dalam perjalanan menempa nama sebagai atlet tinju.
Pernah dilabel sebagai remaja bermasalah kerana gemar ‘berbukut’ atau bergaduh, kehidupan Tom kini berubah 360 darjah selepas menyertai program tinju di SHG Penjara Puncak Borneo, sejak menjadi pelatih di situ pada tahun 2020.
Namanya mula dikenali selepas kejayaannya memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak dalam kategori 48kg.
Bakat Tom dihidu jurulatih Pusat Pembangunan Sukan Tinju SHG Penjara Puncak Borneo, Muhammad Helman Morni selepas melihat potensinya semasa latihan walaupun tidak memiliki asas dalam sukan tempur itu.

Aksi Tom semasa perlawanan akhir pada SUKMA Sarawak 2024.
“Pada mulanya saya hanya mahu mencuba-cuba sahaja kerana memang tidak tahu bertinju. Namun selepas mengikuti latihan ini secara bersama coach Helman, saya semakin meminatinya dan mula berlatih secara serius.
“Sukan ini sangat baik untuk diri saya kerana ia mengubah sikap saya…dari seorang yang pemarah, menjadi individu yang penyabar dan saling menghormati. Inilah yang jurulatih tekankan dalam latihan kami,” katanya dalam sesi temubual ekslusif bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Berkongsi kisah hidupnya, anak sulung tiga beradik dari Samarahan itu dihantar ke SHG Puncak Borneo pada Julai 2020 atas kesalahan bergaduh.
Hatinya mula terdetik untuk berlatih tinju selepas setiap hari melihat beberapa pelatih menjalani latihan di bawah kendalian Helman.
Didorong oleh hasratnya yang membuak untuk berubah, beliau gigih menjalani latihan hingga mendapat kepercayaan skuad tinju Sarawak untuk bertanding di pelbagai kejohanan kebangsaan termasuk SUKMA.
“Saya mahu membetulkan stigma masyarakat luar sana bahawa pesalah juvana tidak ada masa depan. Saya mahu menyumbang sesuatu kepada negeri dan negara.
“Kepada mereka yang senasib dengan saya, jangan berputus asa. Sebaliknya, ceburilah apa jua yang anda minati dengan bersungguh-sungguh.
“Yang penting, anda perlu mencari mereka yang menyokong anda di jalan yang betul,” katanya lagi.
Selepas dibebaskan pada Julai 2023, Tom berlatih tinju sepenuh masa di bawah kendalian jurulatih Sarawak untuk bertanding di pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan.
Baru-baru ini, beliau melakar satu lagi kejayaan di Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 di Sri Aman dengan menumpaskan petinju Singapura, Sufi Irfan Mohd Idris dalam kategori flyweight (51kg).
Walaupun bertubuh kecil, kelincahan dan ketangkasan Tom menghadirkan gerun terhadap lawannya walaupun yang bertubuh jauh lebih besar.
Tom kini dikenali sebagai Muhammad Irfan Tom Frankie selepas memeluk Islam pada Julai 2022.
Beliau yang amat meminati petinju Amerika, Gervonta Bryant Davis dan Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’ menanam cita-cita untuk menjadi petinju profesional satu hari nanti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih khususnya coach Helman yang bertungkus lumus melatih saya hingga berjaya hari ini.
“Selain itu, ucapan pernghargaan saya berikan kepada Persatuan Tinju Negeri Sarawak dan semua pihak yang memberi saya kepercayaan selama ini,” katanya menutup temubual.

Muhammad Helman bersama Tom selepas Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4 di Sri Aman baru-baru ini.
Peluang Kedua
Program tinju di SHG Penjara Puncak Borneo ibarat talian hayat kepada pesalah juvana untuk mendapatkan semula kehidupan yang telah mereka sia-siakan dahulu.
Di situ, bakat ‘berbukut’ atau bergaduh mereka diasah dengan sebaiknya agar menjadi atlet tinju yang berpotensi mewakili Sarawak mahupun negara.
Ditubuhkan pada tahun 2018 oleh Jabatan Penjara Malaysia, program intensif itu turut mendapat kerjasama Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Menurut Helman, idea mewujudkan program itu tercetus apabila melihat potensi penghuni sekolah itu dalam aktiviti sukan tempur dan adanya jurulatih tinju yang berkelayakan peringkat kebangsaan.

Tom berjaya melepaskan tumbukan padu ke arah Sufi Irfan semasa perlawanan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4.
“Program Pembangunan Tinju Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo di bawah Jabatan Penjara Malaysia ialah Projek Henry dan sekarang dinamakan sebagai Projek Podium. Sementara di peringkat Negeri Sarawak ialah Pusat Permulaan Sukan Tinju Sekolah Henry Gurney.
“Program ini ditubuhkan untuk memberi peluang kedua kepada pelatih Henry Gurney melalui sukan tinju, membentuk disiplin, kekuatan mental dan fizikal.
“Ia bertujuan melahirkan bakat baharu, membina keyakinan diri dan membuka peluang penghuni untuk mengubah hidup mereka menjadi atlet sukan tinju,” jelas Helman yang juga Ketua Jurulatih skuad tinju Sarawak.
Setakat ini, program itu telah melahirkan ramai atlet tinju yang berjaya memenangi pingat dalam pelbagai kejohanan kebangsaan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA).
Selain Tom, seorang lagi pelatih, Frederick Xian turut merangkul pingat emas pada SUKMA 2024 Sarawak dalam kategori 57kg.
Sebelumnya, pelatih dari program sama, Mohd Rafieq Morshidi berjaya merangkul pingat perak pada SUKMA 2022 Kuala Lumpur dalam kategori 63.5kg.
Kecemerlangan program tinju tersebut turut mengiktiraf Penjara Sarawak sebagai penjara terbaik pada 2024.
Menurut Helman lagi, ketika ini seramai 20 pelatih sedang aktif mengikuti latihan dalam pelbagai kategori sebagai persiapan untuk pendedahan SUKMA 2026 dan 2028.

Pelatih sedang menjalani latihan bersama Muhammad Helman.
Seperti latihan di luar, atlet yang mengikuti latihan di situ turut berlatih program latihan pada sesi pagi dan petang yang menekankan aspek teknik, sparring, kecergasan dan mental.
“Atlet cemerlang lahir dari program itu akan disalurkan ke pusat latihan tinju negeri setelah dinilai prestasi oleh jurulatih melalui pemilihan.
“Inilah peluang bagi mereka memulakan hidup baharu yang lebih baik dan sihat, menjanjikan masa depan yang lebih cerah,
“Saya berharap program dan projek ini menjadi contoh bahawa sukan mampu mengubah hidup seseorang untuk membina keyakinan dan membuka peluang kedua untuk masa depan,” katanya lagi. - EDISI UKAS

Pelatih sedang menjalani latihan bersama Muhammad Helman.