CENTEXS Lawas: Era Baharu Pembangunan Modal Insan Di Utara Sarawak

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kampus Lawas memainkan peranan strategik dalam memartabatkan masyarakat di utara Sarawak dan selatan Sabah melalui pendidikan inklusif dan mudah diakses.

Dibina dengan kos RM45 juta, menggantikan kemudahan sementara yang ditubuhkan pada 2018, kampus ini dilengkapi dengan 16 bilik kuliah, lapan asrama bengkel teknikal dan infrastruktur latihan moden dan berkapasiti 700 pelatih.

Majlis perasmian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Pengarah CENTEXS dan CENTEXS Commercial, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu jemputan lain.

Sejak penubuhannya, CENTEXS Lawas telah melatih dan lebih 792 individu berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang teknikal, digital dan berasaskan warisan.

Sehingga hari ini, terdapat 147 pelajar aktif mendaftar dalam lapan program yang sedang dijalankan dengan 22 program kini ditawarkan di bawah dua akademi iaitu Akademi Industri & ESG dan Akedemi Aeroangkasa, Digital dan Tenaga Hijau.

Akademi ini beroperasi secara kerjasama dengan badan pensijilan yang diiktiraf secara global seperti Huawei, The Welding Institute (TWI), International Therapy Examination Council United Kingdom (ITEC UK) dan Qualifi UK.

Objektif utama adalah untuk memastikan pelajar lulus dengan kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang berkaitan dengan industri.

Semua program di bawah akademi ini direka bentuk dengan "AI Ethical Inside", memastikan transformasi digital dan inovasi disematkan dengan amalan Al beretika untuk manfaat pelajar, industri dan komuniti.

CENTEXS Lawas komited dalam mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dengan melengkapkan masyarakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam sektor pertumbuhan tinggi.

Dengan bilangan graduan yang semakin meningkat dan kerjasama industri yang lebih kukuh, kampus ini bersedia untuk menjadi pemangkin pembangunan sosio-ekonomi, keterjaminan makanan dan inovasi teknologi di seluruh rantau ini.

Kampus baharu ini berperanan penting dalam mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab untuk latihan teknikal dan vokasional, bukan sahaja menyediakan perkhidmatan di Lawas dan Limbang tetapi juga negara jiran Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

Ia dijangka mewujudkan peluang baharu dalam perhotelan agromakanan, pelancongan, minyak & gas dan industri hijau.-EDISI UKAS