WUHAN: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng telah menyampaikan pembentangan pada Culture and Creativity Driven Sustainable Urban Development International Forum 2025 di Wuhan, pada Isnin.
Dalam forum itu, beliau menampilkan Kuching sebagai kajian kes bagaimana integrasi silang sektor budaya, pelancongan lestari dan pembangunan semula bandar mampu memacu pertumbuhan inklusif serta mampan.
Forum berprestij itu dianjurkan oleh Sekretariat UNESCO Creative Cities Network, Biro Sumber Asli dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar Perbandaran Wuhan, serta Institut Perancangan dan Reka Bentuk Wuhan. Ia menghimpunkan pemimpin bandar, pakar dan pembuat dasar dari seluruh dunia untuk berkongsi amalan terbaik pembangunan bandar mampan.
Dalam pembentangannya, Dato Wee menyorot pencapaian Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO pertama di Malaysia, selain pengiktirafan sebagai Bandar Perpaduan, Bandar Kraf Dunia, serta penyertaan dalam inisiatif Bandar Sihat, Bandar Mesra Kanak-kanak dan Rangkaian Bandar Mesra Warga Emas WHO.
Beliau menjelaskan bahawa Kuching membuktikan kekuatan integrasi pelbagai sektor: gastronomi bukan sekadar makanan, tetapi pemacu mata pencarian, inovasi dan pelancongan; eko-pelancongan melindungi biodiversiti sambil mencipta peluang pekerjaan.
Manakala, dasar pembangunan semula bandar memperkukuh keterangkuman melalui ruang awam yang diperbaharui serta rangka kerja mesra kanak-kanak dan warga emas.
“Kesemua inisiatif ini membentuk satu kitaran berdaya maju serta budaya menarik pelancongan, hasil pelancongan menyokong regenerasi, dan regenerasi pula memperkayakan pengalaman budaya dan pelancongan,” tegas beliau.
Dato Wee turut menekankan bahawa model pembangunan Kuching sejajar dengan Braga Manifesto on Culture and Sustainability, Agenda Mondiacult 2025, serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan budaya sebagai teras perancangan pembangunan.
“Dengan menghubungkan budaya, pelancongan dan regenerasi, Kuching membuktikan bahawa bandar bersaiz sederhana juga boleh memainkan peranan kepimpinan global dalam membina masa depan mampan berteraskan rakyat,” katanya lagi.-EDISI UKAS