LAWAS: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lawas menjadi inisiatif penting dalam memacu pembangunan kemahiran, sekali gus memperkukuh struktur ekonomi di wilayah utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penubuhan institusi itu akan melengkapkan masyarakat, khususnya golongan belia, dalam menghadapi cabaran globalisasi yang kian pesat didorong oleh inovasi dan teknologi.
“Ini adalah hadiah yang begitu besar bagi kita di Sarawak terutamanya di kawasan paling utara di Sarawak iaitu Limbang dan Lawas.
"CENTEXS ia akan dapat membuka peluang untuk masyarakat kita, terutamanya dikalangan generasi muda untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan meningkatkan keupayaan," katanya.
Beliau berucap demikian semasa Majlis Perasmian CENTEXS Lawas yang telah disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah CENTEXS dan CENTEXS Commercial, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu jemputan lain.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, kebolehpasaran graduan CENTEXS Lawas amat memberangsangkan apabila mencatatkan kadar 98 peratus sejak penubuhannya pada 2018.
"Ada diantaranya telah ditawarkan pekerjaan walaupun belum Tamat pengajian.
"Malah ada yang mendapat gaji hingga RM10,000 sebulan," tambahnya. - EDISI UKAS