RMK-13: Sarawak Perlu Agihan Adil Selaras Semangat MA63

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUALA LUMPUR: Sarawak bukan sekadar sebuah wilayah biasa, sebaliknya merupakan rakan pengasas Malaysia sejak 1963 dan wajar diberikan agihan pembangunan yang adil dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, walaupun pelbagai projek besar dirancang untuk Sarawak termasuk tenaga hidrogen, Lebuhraya Pan Borneo, hab petrokimia, ekonomi maritim dan pelancongan melalui Special Tourism Investment Zone (STIZ), namun sasaran pertumbuhan ekonomi serta angka peruntukan masih belum seimbang.

“Pertumbuhan Sarawak hanya disasarkan pada kadar 4.6 peratus, berbanding Sabah 5.8 peratus dan Semenanjung 5.0 hingga 5.2 peratus.

“Ini tidak adil bagi sebuah wilayah yang selama ini menyumbang minyak, gas, hidroelektrik dan kini hidrogen kepada negara,” tegasnya dalam satu kenyataan media pada Isnin selepas membahaskan RMK-13 di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah utama bagi memperkukuh pelaksanaan RMK-13 di Sarawak.

Antara cadangan beliau ialah peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada RM430 bilion bajet pembangunan nasional untuk Sarawak dan Sabah, mewujudkan Dana Infrastruktur Khas merangkumi projek Pan Borneo, Trans Borneo serta liputan internet berkelajuan tinggi di sekolah pedalaman, selain pengagihan hasil minyak, gas, rare earth elements (REE) dan karbon kredit secara lebih adil.

Dato Ahmad turut menekankan keperluan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada bajet pendidikan dan kesihatan negara diperuntukkan kepada Sarawak, untuk universiti teknikal, TVET, hospital pakar, dan kemudahan luar bandar di Sarawak serta geran khas dan ‘capitation grant’ perlu dimaktubkan dalam undang-undang, bukan hanya janji politik.

Beliau turut menekankan beberapa bidang keutamaan Sarawak dalam RMK-13 bidang keutamaan lain seperti pembangunan ekonomi desa, keterjaminan makanan, pelancongan berasaskan komuniti, keselamatan dan pertahanan serta perlindungan sosial belia.

“Apa yang Sarawak tuntut bukanlah belas kasihan, tetapi keadilan dalam hasil, pembangunan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

“Sarawak bukan anak tiri, sebaliknya rakan kongsi. Jika Sarawak dibangunkan secara setara, Malaysia akan lebih teguh sebagai sebuah negara bangsa,” ujarnya.-EDISI UKAS