LAWAS: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lawas bakal dijadikan Pusat Latihan Serantau bagi melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan dana bagi menambah baik infrastruktur pusat berkenaan.
“Saya selaku Pengerusi Yayasan Sarawak, kita bersetuju supaya CENTEXS Lawas menjadi Pusat Latihan Serantau.
"Ini kerana kita banyak kawan kita jiran iaitu Brunei, Sabah dan mungkin di luar Lawas di mana kita akan memberikan latihan strategik kepada para pelajar di sini.
"Bukan sahaja untuk orang Lawas sahaja tetapi ia berbentuk ‘universal’," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian CENTEXS Lawas di sini, pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah CENTEXS dan CENTEXS Commercial, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu jemputan lain.
Terdahulu, Datuk Amar Awang Tengah memohon agar dana disalurkan kepada CENTEXS Lawas bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur dan disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, institusi latihan penting dalam membangunkan tenaga kerja mahir termasuk dalam sektor pertanian padi dengan penggunaan teknologi moden demi memastikan keterjaminan makanan.
“Lawas dan Limbang mesti menggunakan cara moden. Sebab itu kita menyediakan latihan, kita melatih orang di sini bagaimana menggunakan jentera bagi penanam padi. Kalau boleh kita menanam dalam setahun dua musim. Selain kegunaan sendiri, lebihan beras boleh kita jual,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak menegaskan bahawa negeri ini terus melangkah ke hadapan dengan hala tuju pembangunan pasca akademik yang menekankan pembangunan bakat, kelestarian alam sekitar serta transformasi ekonomi berasaskan teknologi, termasuk penggunaan hidrogen dan kecerdasan buatan (AI).
“Sebuah negara di Eropah yang begitu berjaya dan dikagumi negara lain di Eropah iaitu negara Jerman disebabkan pendidikan latihan diberikan kepada rakyatnya.
"Dan kedua rakyatnya dapat menyesuaikan diri dengan kaedah baharu dalam ekonominya. Jerman macam Malaysia iaitu persekutuan. Sebuah wilayah di Jerman yang begitu maju untuk Jerman ialah Bavaria. Jadi kita di Sarawak mesti mempunyai hala tuju dasar yang boleh membawa Sarawak seperti Bavaria kepada Jerman dan kita Sarawak kepada Malaysia,"katanya.
Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut merasmikan Green Asphalt Testbed serta menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara CENTEXS dan Sarawak Media Group.-EDISI UKAS