CRAUNERA Biskut Sagu Warisan Jadi Cenderamata Premium Pelancongan

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pengunjung yang mencari ‘Rasa Sarawak’ kini mempunyai pilihan baharu yang lazat iaitu CRAUNERA Biskut Sagu Bebas Gluten, produk makanan premium keluaran CRAUN Research.

Produk inovatif ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertahun-tahun yang berjaya mengangkat tanaman tradisional sagu Sarawak ke persada dunia melalui pendekatan moden, selamat serta beridentitikan budaya tempatan.

CRAUNERA dalam satu kenyataan media berkata, biskut tersebut adalah contoh apabila sains, kualiti dan budaya berpadu.

"Kami mengambil tanaman tempatan yang sederhana lalu membayangkannya semula sebagai produk bertaraf dunia yang boleh dibawa pulang pelancong dengan bangga. Apabila pelancong membawa pulang CRAUNERA, mereka turut berkongsi kecekapan dan kehangatan Sarawak,” katanya dalam kenyataan itu pada Ahad.

Seiring aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai destinasi gastronomi global, CRAUNERA menampilkan keunikan sagu yang semula jadi bebas gluten dan mesra kesihatan. Produk ini dihasilkan mengikut piawaian HACCP, GMP, HALAL dan MESTI, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna antarabangsa.

Biskut CRAUNERA ditawarkan dalam balang 160 gram dengan tiga pilihan perisa iaitu Asli (oatmeal), Matcha dan Coklat, menjadikannya sesuai dijadikan hadiah, cenderamata mahupun snek harian.

Dengan bungkusan elegan, mudah dibawa dan tahan lama, CRAUNERA bukan sekadar biskut tetapi sebuah jemputan manis untuk mengenali Sarawak.

"Dengan gabungan sains, keselamatan dan cerita, jenama ini melambangkan semangat ‘Dari Sarawak dengan Kasih Sayang’ berkongsi ekspresi premium sebenar dari Bumi Kenyalang kepada dunia,” menurut kenyataan tersebut.-EDISI UKAS