CENTEXS Lawas Jadi Perintis Teknologi Jalan Raya Plastik Kitar Semula

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lawas muncul sebagai institusi pertama di negeri ini yang dilengkapi dengan teknologi jalan raya berasaskan plastik kitar semula, sekali gus menjadi perintis dalam inovasi pembinaan mesra alam.

Projek perintis itu dibangunkan dengan kerjasama Janatek Resources dan Renergy Bumi Hijau (RBH), syarikat teknologi hijau tempatan, menggunakan hampir 400 kilogram sisa plastik yang dikumpul dari seluruh Malaysia bagi menghasilkan jalan Asphalt Hijau sepanjang 100 meter di kawasan kampus berkenaan.

Majlis pelancaran disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena perasmian CENTEXS Kampus Lawas pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah CENTEXS dan CENTEXS Commercial, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu lain.

Projek Asphalt Hijau ini dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan, daripada idea hinggalah ke pelaksanaannya.

Ia juga menjadi sebahagian daripada pelaksanaan dasar Pengurusan Sisa Plastik dan Ekonomi Pekeliling Sarawak, yang menekankan kitar semula, pengurangan sisa dan pelanjutan kitaran hayat bahan ke arah matlamat Sisa Sifar.

Selain lebih tahan lama, teknologi jalan berasaskan plastik kitar semula ini turut menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan memberi manfaat berganda dalam usaha mengurangkan pencemaran plastik.

Pendekatan inklusif turut dilaksanakan melalui penglibatan komuniti tempatan dalam proses pengumpulan sisa plastik, sekali gus menggalakkan kesedaran bersama terhadap kelestarian alam sekitar serta membuka peluang pendapatan tambahan.

Kejayaan CENTEXS Lawas sebagai perintis teknologi Asphalt Hijau bukan sahaja memperkukuh agenda kelestarian Sarawak, malah membuktikan keseriusan negeri dalam mengarusperdanakan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di peringkat nasional dan antarabangsa. –EDISI UKAS