KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sentiasa terbuka untuk meneroka bentuk kerjasama strategik bersama pihak industri bagi memperkukuh capaian maklumat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, UKAS memainkan peranan penting sebagai agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat dasar dan agenda pembangunan Sarawak melalui pelbagai platform media, termasuk cetak, elektronik, digital serta media massa.
“Kami menyambut baik inisiatif pihak industri yang ingin bekerjasama kerana ia dapat memperluas capaian serta meningkatkan keberkesanan komunikasi kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada rombongan Ibrandium Resources yang diketuai oleh Afiq Khatem pada Isnin.
Dalam pertemuan tersebut, Awang Putrayusrie turut berkongsi profil serta fungsi UKAS sebagai agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab menyebar luas maklumat dasar dan agenda pembangunan Sarawak melalui pelbagai platform media, termasuk media cetak, elektronik, digital serta media massa.
Sementara itu, Ibrandium Resources berkongsi kepakaran syarikat dalam bidang penyediaan latihan kecerdasan buatan (AI), pengurusan agensi pemasaran, penerbitan dokumentari serta program pembangunan masyarakat.
Antara projek yang pernah dijalankan syarikat itu termasuk dokumentari video untuk Sarawak Multimedia Development (SMD), program NGO untuk perusahaan kecil dan sederhana (MSMEs), serta inisiatif keusahawanan seperti SUPEWANG.
“Melalui pertemuan ini, kami berharap dapat membuka ruang kolaborasi bersama UKAS dalam memperluas capaian maklumat serta menyokong inisiatif pembangunan komuniti melalui medium komunikasi yang lebih efektif,” kata Afiq.-EDISI UKAS