MATU: Seramai empat pesakit terlantar dari Kampung Bawang, Kampung Sekaan Kecil dan Kampung Tian menerima sumbangan kerusi roda daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya yang turut meluangkan masa menziarahi setiap kediaman penerima bagi menyerahkan sendiri bantuan berkenaan.
Penerima dan keluarga menzahirkan rasa syukur serta terharu atas keprihatinan beliau yang bukan sahaja menyalurkan bantuan malah hadir menyantuni mereka secara dekat.
Menurut Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda, pemberian tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Khidmat DUN Jemoreng dalam membantu meringankan beban pesakit terlantar di kawasan berkenaan.
Katanya, bantuan seperti kerusi roda akan terus disalurkan dari semasa ke semasa bagi memastikan penerima mendapat kemudahan yang lebih selesa untuk bergerak.
Turut hadir sama, Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan terlibat.-EDISI UKAS