Kesihatan Tonggak Kemerdekaan, Masyarakat Disaran Hargai Nikmat Terbesar

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MATU: Program Kesihatan Komuniti Peringkat Kampung Bawang sempena Bulan Kemerdekaan 2025 menjadi landasan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan, di samping memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti setempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, penglibatan aktif masyarakat pada program tersebut membuktikan bahawa semangat kemerdekaan tidak hanya dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi turut diterjemahkan melalui usaha menjaga kesejahteraan diri dan keluarga.

“Program ini amat signifikan kerana ia membawa mesej penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan, mengesan risiko penyakit kronik secara awal serta memberi pendidikan mengenai pengurusan ubat-ubatan yang betul bagi memastikan ia selamat dan berdaftar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di Dewan Muhibbah Haji Mahdi, Kampung Bawang pada Ahad.

Menurut beliau, program itu juga menjadi platform menyebarkan maklumat mengenai mySalam yang memberi perlindungan kesihatan kepada rakyat, menggalakkan pendermaan darah sebagai amal kebajikan yang boleh menyelamatkan nyawa serta memperkenalkan peranan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta pelbagai perkhidmatan yang mereka sediakan.

“Program seperti ini mampu mengukuhkan semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung, selain menjadikan Dewan Muhibbah Haji Mahdi sebagai mercu tanda kesepaduan komuniti dan pusat aktiviti bermanfaat untuk semua,” tambahnya.

Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda menegaskan, kesihatan adalah nikmat paling berharga kerana tanpa kesihatan, kemerdekaan tidak akan dapat dinikmati sepenuhnya.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi, Pegawai Perubatan Dr. Nur Fadzilla Junaidi, Pegawai Pertahanan Awam Matu Lt. (PA) Jumaat Akasas, Pegawai Farmasi Hospital Daro Saalini Mahalingam, Pemanca Daerah Matu Mesalch @ Che Jeni Shahdan serta Penghulu Kampung Bawang/Sekan Kechil Norlela Deris.-EDISI UKAS