KUCHING: Hasrat Kuching City FC (KCFC) untuk meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Liga Super Malaysia 2025 disekat Johor Darul Takzim (JDT) apabila tewas tipis 0-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Jairo De Macedo Da Silva menjaringkan gol kemenangan pelawat pada minit ke-61 yang menyaksikan KCFC kehilangan Yuki Tanigawa selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-47.
Ini merupakan kekalahan pertama KCFC dalam kancah Liga Super Malaysia.
KCFC dan JDT bermula dengan permainan yang kemas dan ampuh dari segi pertahanan dan serangan yang bertali arus antara satu sama lain.
Pasukan anak buah Munoz Llompart Francisco Javier juga melakukan serangan garang dengan beberapa siri serangan balas terhadap gawang KCFC terutamanya beberapa siri tendangan jarak jauh kapten JDT Samuel Castillejo Azuaga pada minit 17 dan minit 20.
Peluang hadir kepada anak buah Aidil Sharin Sahak pada minit 23 apabila hantaran jarak jauh pemain bek kiri Scott Phillip Galang Wood yang tepat kepada penyerang Wanja Ronald Ngah yang menggelecek pertahanan JDT sebelum membuat hantaran ke Hazwan Bakri namun terkena tiang gol lawan.
Penjaga gol KCFC, Haziq Nadzli turut beraksi cemerlang apabila menahan serangan bertali arus penyerang JDT.
Perlawanan sengit pada separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan
Babak separuh masa kedua bermula dengan hampa apabila pemain import KCFC Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah oleh pengadil Razlan Joffri Ali pada minit ke-47 selepas melakukan kekasaran di luar kotak penalti.
Berbaki 10 pemain, Aidil Sharin terpaksa mengubah taktikal perlawanan degan lebih defensif namun masih mengasak kubu JDT.
Usaha KCFC terbantut apabila Jairo De Macedo Da Silva menjaringkan gol tunggal JDT selepas hantaran silang daripada Joao Vitor Brando pada minit ke-61.
Tersentap dengan jaringan itu, KCFC memperkemaskan permainan dan hampir beroleh gol hasil serangan Muhammad Ramadan Saifullah namun percubaan terbaiknya terbang tinggi selepas berlaku kucar kacir di kotak penalti lawan pada minit ke-63.
Permainan pertahanan agresif yang ditampilkan oleh JDT tampaknya membuahkan hasil apabila berjaya menyekat kemaraan pasukan KCFC yang terus kecewa dengan serangan yang tiada penyudah.
Peluang terakhir anak buah Aidil untuk menyamai jaringan juga tidak kesampaian apabila percubaan Moses Atede pada minit ke-94 jauh melepasi gawang. - EDISI UKAS