Kuching City Akan Bangkit - Aidil

Disiarkan pada 25 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: “Kami telah memberi tentangan yang hebat, kami tidak menyerah dan kami tidak mudah mengalah.”

Demikian ulas Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak setelah tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Ahad.

Meskipun skuad kendalian beliau terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain import, Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah pada minit 47 ekoran kekasaran yang berlaku di luar kotak penalti tuan rumah, namun semangat juang ditunjukkan ‘The City Boys’ wajar diberi pujian.

Aidil mengakui KCFC menghadapi kesukaran untuk menahan serangan bertali arus JDT setelah kekurangan seorang jentera pertahanan, namun masih mampu bertahan dengan baik hingga tamat perlawanan.

“Untuk menentang JDT, apabila anda mempunyai 11 pemain, ia memang sudah sukar dan apabila anda hanya tinggal 10 pemain, ia lebih sukar lagi. Tetapi, saya menghormati pemain-pemain saya dan saya juga ‘salute’ kepada mereka kerana walaupun dengan 10 pemain, mereka memberikan segalanya.

“Malam ini mereka benar-benar memberikan segalanya dan saya memohon maaf kepada para penyokong kerana tidak memperoleh keputusan yang diharapkan dan saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas keputusan tersebut,” ujarnya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Tambahnya, kehilangan empat pemain terbaik iaitu João Pedro da Silva Freitas, Muhammad Daniel Amier Norhisham, Jordan Mintah dan Gabriel Nistelrooy ekoran kecederaan sedikit sebanyak memperlahankan rentak permainan mereka.

Bagaimanapun, perkara ini telah membuka ruang kepada pemain seperti Ahmad Daniel Ahmad Asri dan Ahmad Hazwan Bakri untuk menyinar dalam kesebelasan utama pada malam ini.

Selain itu katanya, penjaga gawang KCFC, Muhammad Haziq Nadzli dan pemain pertahanan Scott Philip Galang Woods wajar diberikan kredit kerana banyak menyelamatkan gawang pasukan daripada diterobos oleh serangan berbahaya JDT.

Berhubung persiapan menentang Negeri Sembilan pada 29 Ogos ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Aidil memberi bayangan keempat-empat pemain ini akan kembali daripada kecederaan sekaligus memperkuatkan lagi kesebelasan utama KCFC.

“Jadi, perkara ini pastinya akan memberikan suntikan semangat kepada pasukan dan yang paling penting, kita tidak boleh tewas apabila ke sana kerana kita mahu mengekalkan konsistensi, bukan sahaja dari segi prestasi, tetapi yang lebih penting adalah keputusan,” katanya lagi. -EDISI UKAS