KAPIT: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Bahagian Kapit 2025 yang berlangsung di Tugu Bujang Berani, Waterfront Baru Kapit hari ini menjadi wadah memperingati jasa serta pengorbanan perwira negara yang telah mengorbankan nyawa demi keamanan tanah air.
Majlis anjuran Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kapit itu menghimpunkan kira-kira 250 peserta termasuk 180 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh Sarawak.
Acara penuh makna itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Turut hadir ialah Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw, Residen Bahagian Kapit Tuan Elvis Didit, selain pimpinan masyarakat, balu dan keluarga veteran.
Dalam ucapannya, Datuk Jefferson menegaskan bahawa Hari Pahlawan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya satu platform penting untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
“Keamanan dan pembangunan yang dinikmati hari ini tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan pahlawan negara.
“Kita perlu menghargai jasa mereka dengan menanamkan nilai patriotik dalam diri setiap warga Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengimbau keberanian PW II Lenggu Cina dari Kapit yang gugur dalam pertempuran di Batu Babi, Song, ketika menentang pengganas komunis sebagai contoh teladan wira yang wajar dikenang.
Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa veteran, Datuk Jefferson mengumumkan peruntukan RM30,000 melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membantu pengurusan serta baik pulih Wisma Veteran PVATM Cawangan Kapit.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama para veteran ATM, PDRM, balu serta keluarga pahlawan sebagai simbol penghargaan terhadap bakti dan pengorbanan mereka kepada negara.
Sambutan penuh makna ini bukan sahaja memperingati sejarah perjuangan perwira negara, malah menjadi pengikat semangat patriotisme yang terus segar dalam jiwa rakyat Malaysia. — EDISI UKAS