Datuk Amar Awang Tengah Tinjau Kemajuan Projek Jambatan Lawas Baharu

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Jambatan Lawas yang baharu, pada Sabtu.

Lawatan itu bertujuan meninjau perkembangan projek strategik yang kini telah mencapai 62.6 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2026.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni, Pengarah Wilayah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, wakil dari Pejabat Residen Limbang, Pejabat Daerah Lawas, Jabatan Tanah dan Survei serta perunding utama projek.

Projek Jambatan Lawas baharu merupakan antara inisiatif pembangunan utama di bawah NRDA dengan seliaan RECODA bagi memperkukuh rangkaian infrastruktur asas di wilayah utara.

Apabila siap kelak, jambatan tersebut akan memperkukuh sistem jalan raya di kawasan berkenaan, melancarkan perhubungan, serta meningkatkan aksesibiliti penduduk.

Selain itu, projek berimpak tinggi ini turut dijangka menjadi pemangkin utama dalam merancakkan perdagangan, mempercepat pembangunan setempat dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi di daerah Lawas serta kawasan sekitarnya.-EDISI UKAS

Foto: NRDA