Pemimpin Kerajaan Sarawak Tidak Pentingkan Diri, Fokus Bantu Rakyat

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Pemimpin Kerajaan Sarawak tidak pernah mementingkan diri untuk mengaut keuntungan sendiri malahan mereka sedia membantu rakyat membangunkan Sarawak secara amnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, terdapat berita-berita di media sosial media yang menyatakan rakyat Sarawak adalah rakyat yang termiskin berbanding rakyat di negeri lain padahal Sarawak negeri yang kaya.

"Dakyah seperti ini sebenarnya ingin menyatakan bahawa pemimpin kerajaan di Sarawak mementingkan diri berbanding keperluan rakyat di Sarawak dan saya amat menafikan kenyataan tersebut kerana ianya bukan fakta yang sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam  Program Ihya Ramadan di Kampung Pusa pada Selasa.

Tambahnya, pengiktirafan Sarawak oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi menunjukkan hasil usaha pemimpin di Sarawak dalam membantu rakyat.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan yang diperlukan kepada penduduk luar bandar dalam mengurangkan jurang kemajuan dengan bandar.

"Kerajaan telah banyak menyediakan pelbagai kemudahan lebih-lebih lagi bantuan kepada masyarakat di luar bandar khususnya di kawasan Beting Maro," jelasnya.

Hal ini katanya, pembinaan kemudahan-kemudahan ini bagi meningkatkan pembangunan ekonomi di Sarawak terutamanya di kawasan pedalaman. -EDISI UKAS