STEM Asas Kemajuan dan Inovasi

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menegaskan penguasaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan lagi pilihan, sebaliknya asas kepada kemajuan dan inovasi negara.

“Negara yang menguasai STEM bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta serta peneraju inovasi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Karnival STEM @ Mukah 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Politeknik Mukah, pada Sabtu.

Royston menambah, inisiatif memperkukuh penguasaan STEM selaras dengan agenda kerajaan negeri menerusi Sarawak Digital Economy Blueprint dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Kedua-dua agenda ini menjadi landasan bagi menjadikan Sarawak hab industri berteknologi tinggi di rantau ini,” jelas beliau.

Karnival tersebut menghimpunkan pelajar, pendidik dan institusi pendidikan dengan pelbagai pertandingan serta pameran berasaskan STEM termasuk robotik, inovasi dan cabaran penyelesaian masalah.

Royston turut berbangga dengan kreativiti pelajar yang disifatkan berpotensi memimpin masa depan Sarawak.

“Kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan, malah setiap cabaran merupakan batu loncatan kepada kejayaan inovasi,” ujarnya sambil menggesa pelajar terus berani mengejar minat dalam bidang STEM.

Majlis penutupan itu sekali gus menandakan kejayaan penganjuran Karnival STEM @ Mukah 2025 yang dilihat mampu melahirkan bakat muda berdaya saing ke arah merealisasikan Sarawak sebagai negeri maju dan berteknologi tinggi menjelang 2030.-EDISI UKAS