KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang merangka pendekatan dasar baharu yang lebih menyeluruh bagi menangani isu kesihatan mental, ketagihan digital dan cabaran sosial yang semakin kompleks dalam kalangan masyarakat moden.
Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes gangguan mental yang berpunca daripada gaya hidup serba pantas dan perubahan dalam pola komunikasi keluarga.
“Kesihatan mental sangat sukar untuk diukur. Hampir semua orang di dunia mempunyai bentuk isu mental tertentu, namun yang membezakan hanyalah bagaimana kita menghadapinya.
Dengan kepantasan perubahan era digital, penggunaan telefon pintar dan sebagainya, rangkaian sokongan semakin berkurangan sehingga ada keluarga yang semakin jarang berinteraksi sesama sendiri,” jelas beliau.
Beliau turut berkata, interaksi antara ahli keluarga semakin berkurangan dan sering kali hanya berlaku melalui mesej ringkas di telefon secara tidak langsung menunjukkan betapa terhadnya perbualan secara langsung dalam kalangan keluarga hari ini.
Selain itu, isu kesihatan mental kini melangkaui aspek perubatan semata-mata dan perlu ditangani secara rentas agensi melibatkan dasar sosial, pendidikan, dan sokongan komuniti.
“Kesihatan mental bukan lagi sekadar isu perubatan. Sama seperti pendidikan, ia bukan hanya soal ilmu pengetahuan semata-mata, sebaliknya satu bentuk transformasi ekonomi. Begitu juga dengan kesihatan mental, ia bukan hanya berkaitan kesihatan, tetapi juga isu sosial dan ketagihan.”
Beliau menekankan keperluan untuk semua pihak berkepentingan duduk bersama bagi merangka dasar dan intervensi yang sesuai, termasuk menangani isu seperti perjudian atas talian, buli siber, dan ketagihan digital.
“Semua pihak berkepentingan perlu duduk semeja untuk membincangkan bentuk sokongan yang perlu diberikan, intervensi yang wajar dilaksanakan serta dasar yang sesuai untuk digubal. Hal ini perlu dilaksanakan merentasi pelbagai agensi.”
Dr. Sim menegaskan bahawa betapa pentingnya kesedaran dan sokongan psikologi dalam menangani isu ini kerana setiap individu harus mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan mental, dan tiada satu pendekatan yang sesuai untuk semua.
Inisiatif ini dijangka dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan barisan kepimpinan negeri dalam masa terdekat, sebagai langkah awal ke arah pembentukan dasar kesihatan mental yang lebih holistik dan bersepadu.-EDISI UKAS